Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) kekal optimis terhadap trajektori ringgit, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pembaharuan struktur.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ringgit mengukuh sebanyak 5.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini bagi 2025 meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.
“Walaupun kita tidak menyasarkan mana-mana paras bagi ringgit namun kita tetap komited untuk memastikan pasaran pertukaran mata wang asing kekal berdaya tahan dan stabil.
“Dalam jangka masa panjang, pembaharuan struktur berterusan, seperti dalam pasaran buruh dan perlindungan sosial, yang penting untuk memacu peningkatan produktiviti dan daya saing, akan terus merangsang pertumbuhan dan memberi sokongan yang bertahan lama kepada ringgit,” katanya bagi menjawab pertanyaan Bernama mengenal ringgit menerusi e-mel hari ini.
Sebelum ini, beliau berkata ringgit dijangkakan mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini dengan prospek ekonomi Malaysia yang cerah.
"Insya-Allah dengan prospek ekonomi yang cerah," katanya selepas pelancaran Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Abdul Rasheed berkata Malaysia melakar kemajuan yang baik dalam menarik pelaburan berkualiti, dengan hasil yang memberangsangkan setakat ini.
“Berbanding kitaran pelaburan terdahulu, kitaran kali ini lebih dipacu oleh sektor swasta dengan peningkatan aktiviti bernilai tambah lebih tinggi yang ketara dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan seperti automasi, pendigitalan dan pelaburan pusat data,” katanya.
Beliau berkata BNM menyambut baik komitmen berterusan kerajaan terhadap disiplin fiskal, dengan sasaran mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.
Tambahan pula, kerajaan turut mengambil langkah penting untuk rasionalisasi subsidi, katanya.
“Bagaimanapun untuk terus memacu dan mengekalkan trajektori ringgit, kita perlu terus bekerja keras untuk memperkukuh asas ekonomi kita.
“Kita perlu menyokong dan melaksanakan perancangan dan pelan hala tuju seperti Rancangan Malaysia Ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Negara,” katanya.
-- BERNAMA