PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan siasatan awam berhubung standard mandatori untuk pendaftaran pengguna perkhidmatan selular awam prabayar.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan kertas siasatan awam itu dibuat selaras dengan Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi memastikan ketelusan, keterangkuman serta akauntabiliti dalam proses pembangunan Standard Mandatori.
“Langkah ini memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan serta maklum balas terhadap piawaian yang dicadangkan, seterusnya membantu MCMC menilai kesesuaian, keberkesanan dan impaknya sebelum standard tersebut dimuktamadkan,” katanya.
Menurut MCMC, standard mandatori yang dicadangkan itu akan menggantikan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Prabayar 2017 dan dibangunkan bagi memperkukuh integriti proses pendaftaran pengguna melalui pengenalan mekanisme keselamatan baharu menggunakan platform automatik yang selamat, iaitu Pengesahan Berbilang Faktor (MFA).
MCMC turut memaklumkan bahawa di bawah peraturan baharu tersebut, suruhanjaya itu akan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bukan sahaja terhadap penyedia perkhidmatan tetapi juga terhadap pengedar yang terlibat dalam proses pendaftaran pengguna akhir prabayar.
“Langkah ini memastikan akauntabiliti merentasi keseluruhan rantaian pendaftaran, di mana pengedar turut tertakluk kepada obligasi di bawah Seksyen 51 AKM 1998, bagi mengurangkan risiko salah laku yang boleh menjejaskan perlindungan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, peraturan yang disemak semula turut memperkenal perlindungan tambahan bagi pengguna bawah umur dengan individu berumur 12 hingga 17 tahun diwajibkan menjalani proses pendaftaran melalui ibu bapa atau penjaga sah.
Cadangan standard tersebut juga memperkenal had baharu terhadap jumlah kad SIM yang boleh didaftarkan atas nama seorang individu sama ada warganegara Malaysia atau warga asing sebagai langkah membendung penyalahgunaan kad SIM yang berterusan.
MCMC turut mengalu-alukan penyertaan aktif daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan standard yang dibangunkan adalah menyeluruh, praktikal dan sejajar dengan keperluan semasa industri telekomunikasi.
Pandangan dan maklum balas boleh dikemukakan melalui pautan https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/notice-public-inquiry-on-proposal-of-new-commiss mulai sekarang hingga 28 Nov ini.
-- BERNAMA