AM

APLIKASI SINIMO UMK INTEGRASIKAN SKUAD WAJA SISWA TANGANI KEGANASAN JENAYAH DALAM WARGA KAMPUS

15/10/2025 04:47 PM

KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengorak langkah ke hadapan dengan mengintegrasikan Skuad Waja Siswa dalam aplikasi digital khas dikenali sebagai Sinimo, yang berfungsi sebagai platform pelaporan, pemantauan dan sokongan kepada kakitangan serta pelajar bagi menangani isu keganasan jenayah seperti buli dan gangguan seksual.

Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata inisiatif berkenaan turut memperkukuh operasi dan keberkesanan Skuad Waja Siswa di kampus, khususnya dalam membantu individu yang berdepan kesukaran atau tidak berani tampil membuat laporan secara bersemuka.

“Dalam aplikasi Sinimo ini, kita wujudkan pautan khas ‘Skuad Waja Siswa@UMK’ bagi memudahkan pelajar dan kakitangan membuat aduan tanpa perlu menelefon atau hadir ke pejabat untuk melaporkan isu yang dihadapi, terutamanya membabitkan kes buli atau gangguan seksual.

“Sejak aplikasi ini diperkenalkan bulan lepas, pihak universiti belum menerima sebarang aduan berkaitan kes tatatertib seperti buli. Ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan dasar tegas, program pendidikan kesedaran berterusan serta pembudayaan nilai murni dalam kalangan warga kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Skuad Waja Siswa Negeri Kelantan 2025 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini, yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Dr Faridah Awang.

Sementara itu, Dr Faridah berkata sehingga kini seramai 2,129 mahasiswa dari seluruh negara telah menyertai Skuad Waja Siswa.

“Program ini menjadi platform strategik dalam penyampaian ilmu berkaitan jenayah serta maklumat kesihatan reproduktif dan seksualiti dengan lebih tepat dan berkesan.

“Kita bukan sahaja mahu melahirkan siswa yang cemerlang dari segi intelek, tetapi juga bijak serta berani mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata usaha itu sejajar dengan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) yang menekankan aspek pencegahan keganasan terhadap wanita serta pembinaan budaya hormat dan keselamatan awam yang lebih mesra wanita.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan