KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti kemungkinan melaksanakan sistem mentor menti dalam Program Rakan Muda bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar serta golongan belia.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata program berkenaan akan melibatkan golongan belia berpengalaman dan pekerja belia profesional sebagai mentor untuk membimbing remaja, khususnya dalam menangani budaya buli dan kesejahteraan emosi.
Beliau berkata cadangan itu antara usul yang dibangkitkan dalam Persidangan Meja Bulat Belia (RTD): Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin anjuran KBS, yang disertai 200 peserta terdiri pakar dalam bidang berkaitan buli, pegawai kanan kementerian dan jabatan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta belia.
“Usul paling menarik daripada NGO adalah betapa pentingnya sistem mentor menti yang melibatkan golongan belia yang lebih tua serta pekerja belia profesional.
“Perkara ini telah dicadangkan supaya diwujudkan segera,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan persidangan itu di sini hari ini.
Hannah berkata sukarelawan terlibat dalam sistem mentor menti perlu mengikuti program latihan terlebih dahulu supaya mereka dapat memainkan peranan dengan efektif ke arah mencapai matlamat yang digariskan.
“Kalau tidak (dilatih) bahaya juga jika nasihat yang diberikan bukan nasihat yang profesional dan nasihat yang tidak tepat,” katanya.
Sistem mentor menti adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Okt 2025, menerusi peruntukan sebanyak RM5 juta kepada KBS bagi pelaksanaan inisiatif ‘Lawan Buli’
Beliau berkata kesemua usul perbincangan meja bulat itu akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu, sebagai nota makluman kepada Kabinet bagi memperkukuh pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
Usul-usul berkenaan boleh digunakan sebagai panduan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam mengumpulkan maklumat untuk menangani isu buli.
Beliau berkata usaha membanteras budaya buli memerlukan pendekatan menyeluruh, bukan hanya melalui aspek perundangan atau tindakan tatatertib semata-mata, tetapi turut melibatkan pendidikan nilai, kempen kesedaran dan penglibatan aktif masyarakat.
“KBS melalui IYRES (Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia) dan JBSN (Jabatan Belia dan Sukan Negara) akan terus berusaha untuk menyediakan ruang dan peluang yang selamat dan inklusif kepada belia bagi menyuarakan pendapat, menyerlahkan potensi dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA