KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Ekonomi Malaysia diunjur dapat mengekalkan pertumbuhannya melebihi 4.0 peratus pada 2025 dan 2026, dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan selain projek infrastruktur dan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan, kata agensi penarafan Malaysian Ratings Bhd.
Ketua Ahli Ekonomi MARC Ratings Dr Ray Choy berkata agensi itu mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 4.2 peratus pada 2025 dan seterusnya 4.0 peratus pada 2026, sekali gus memaparkan pengembangan yang stabil walaupun dalam senario cabaran global.
“Pada 2025, kami mengunjurkan pertumbuhan itu pada 4.2 peratus dan menjangkakan perubahan kecil kepada kira-kira 4.0 peratus pada 2026,” katanya sewaktu berkongsi pandangannya dalam pembentangan di Refleksi MARC360 : Analisis Belanjawan 2026 Malaysia dan Hujahan Pasca Belanjawan di sini, hari ini.
Choy berkata kepelbagaian struktur ekonomi Malaysia yang merangkumi perkhidmatan, pembuatan dan industri elektrik dan elektronik, akan terus menekankan kepentingan daya tahan manakala pembaharuan konsolidasi fiskal dan tadbir urus mengukuhkan asas-asas makroekonomi.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan akan terus disokong oleh kemajuan penting serta inisiatif dasar, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, Transit Aliran Ringan Pulau Pinang, Lebuhraya Pan Borneo dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya.
Mengulas Belanjawan 2026, Choy menyifatkannya sebagai inovatif yang secara jelas melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam usaha memacu pembangunan negara.
“Ini akan mengurangkan beberapa jurang dalam matlamat selain memastikan perbelanjaan itu dapat disalurkan kepada yang membawa pulangan pelaburan (ROI) lebih positif serta projek-projek yang baik,” katanya.
Beliau berkata ketika Malaysia terus mengekalkan kerangka kawalan defisit, negara ini masih mempunyai mekanisme fiskal dan monetari yang memadai bagi mengharungi ketidaktentuan, termasuk pelonggaran monetari sekiranya keadaan global terus meruncing.
“Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia terus rendah. (Pelaksanaan) penyasaran semula subsidi tidak membawa kepada hasil IHP konvensional sepertimana diharapkan, (namun) IHP yang rendah itu memberi potensi bagi pelonggaran monetari,” katanya.
Choy turut menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan luaran ketika perdagangan global serta geopolitik menjadi semakin berpecah.
Justeru, beliau menyifatkan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini menjadi peluang berharga untuk meletakkan negara ini sebagai pemacu serantau bagi kerjasama ekonomi.
“Memandangkan wujudnya keretakan geoekonomi dan geopolitik secara global, idea keseluruhan untuk memperkukuh daya tahan luaran akan menjadi amat penting bagi dekad akan datang selain bagaimana kita memanfaatkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya.
Menyentuh kemampanan hutang Malaysia, Choy berkata aspek itu kekal kukuh, disokong oleh pertumbuhan KDNK yang sihat serta pembaharuan fiskal di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan.
“Pertumbuhan Malaysia terus mengatasi kos khidmat hutang dan pembaharuan untuk memperluas hasil serta mengawal perbelanjaan yang hanya bertujuan mengemudi negara ke laluan fiskal lebih mampan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan ASEAN OCBC Bank Lavanya Vekataswaran berkata Belanjawan 2026 itu merangkumi perkara yang tepat dengan menseimbangkan fiskal dan fleksibiliti untuk memberi tindak balas kepada ketidaktentuan global.
“Ini memberi ruang kepada kerajaan agar lebih cekap dari segi peruntukan kerana menyediakan pertumbuhan hasil cukai dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil bukan cukai.
“Oleh itu secara keseluruhannya, ini mencakupi semua elemen yang betul, namun kita masih perlu mengharungi ketidaktentuan di masa depan,” katanya.
-- BERNAMA