AM

MALAYSIA DAHULUI TREND NIKMATI SAJIAN BERINSPIRASIKAN WARISAN DAN LESTARI - MARRIOTT

15/10/2025 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) --  Laporan ‘Masa Depan Makanan 2026’ yang dilancarkan oleh Marriot International ketika pameran kulinari Flavours of the Forgotten di Kuala Lumpur, memperlihatkan landskap kulinari Malaysia terus menjadi tumpuan di rantau Asia Pasifik, dengan pengaruh negara ini yang semakin berkembang dalam gastronomi berteraskan kelestarian dan warisan tempatan. 

Menurut laporan itu, landskap pemakanan di Asia Pasifik sedang mengalami perubahan yang didorong oleh kecenderungan terhadap menu berunsur kenyamanan, pengalaman deria, serta peningkatan penggunaan bahan tempatan dan sumber lestari. 

Di Malaysia, perubahan itu semakin ketara apabila mengikut kajian pasukan Makanan dan Minuman (F&B) Marriott di seluruh 270 rangkaiannya di 20 negara Asia Pasifik mendapati 68 peratus pengunjung di Malaysia kini lebih gemar sajian tempatan Asia, manakala 74 peratus daripada rangkaiannya menyajikan makanan tradisional yang disediakan dengan kaedah diwarisi turun-temurun.  

Sementara itu, 42 peratus melaporkan terdapat permintaan lebih tinggi terhadap comfort food atau makanan yang mempunyai nostalgia atau nilai-nilai sentimental, berbanding purata serantau sebanyak 29 peratus.

“Dapatan ini meletakkan Malaysia antara pasaran kulinari paling dinamik di rantau ini, dengan pengunjung menginginkan pengalaman yang autentik, mudah didekati serta mempunyai kaitan yang mendalam dengan budaya dan komuniti,” menurut Marriot dalam kenyataan hari ini. 

Pameran kulinari yang dikendalikan oleh Cef Ekskutif Nor Azizi itu menampilkan bahan-bahan tempatan negara seperti ulam raja, daun kaduk, daun pegaga dan kerdas yang digabung menghasilkan menu moden fine-casual dengan kerjasama perintis pertanian bandar Malaysia, BoomGrow.

Sempena dengan majlis makan malam itu, Marriott Bonvoy juga menampilkan rakan-rakan tempatan yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan hidangan lestari negara, sekali gus membuktikan bahawa pemilihan sumber secara bertanggungjawab dan inovasi bolah digabungkan secara harmoni dengan elemen kenyamanan dan kesenian. 

Naib Presiden F&B Marriott Internationalin Asia Pacific (tidak termasuk China) Petr Raba berkata comfort food menjadi lambang kemewahan baharu di seluruh rantau Asia Pasifik dan perubahan itu memberi makna besar khususnya di Malaysia, apabila makanan sangat berkait rapat dengan warisan dan mempunyai cerita di sebaliknya. 

"Di seluruh  Asia Pasifik, comfort food muncul sebagai simbol baharu kemewahan. Di Malaysia, evolusi ini sangat berpengaruh, kerana setiap bahan mempunyai cerita dan setiap resipi mencerminkan satu warisan.  Flavours of the Forgotten meraikan dialog antara warisan dan inovasi ini dan ia mengingatkan kita bahawa makanan paling bermakna adalah yang berakar umbi dalam budaya,” katanya dalam kenyataan itu. 

Raba berkata kerjasama dengan perintis tempatan seperti  BoomGrow, WonderBrew dan Korte Chocolate × Hétam+, menunjukkan bagaimana kelestarian, kreativiti dan keaslian sedang membentuk era baharu dalam dunia kulinari di Malaysia.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa Malaysia menerajui dalam transformasi digital di rantau ini, dengan 95 peratus rangkaian Marriot menguruskan tempahan secara digital dan 84 peratus telah mengintegrasikan sistem maklum balas bagi meningkatkan pengalaman pengunjung. 

Dapatan utama lain dalam kajian itu termasuk permintaan yang meningkat terhadap pilihan vegan, vegetarian dan bebas gluten, selain kebangkitan semula penggunaan bahan warisan seperti perasa hasil daripada penapaian dan garam artisan, serta pengaruh yang semakin berkembang daripada perusahaan sosial tempatan dalam memacu kelestarian dan biodiversiti dalam ekosistem makanan Asia. 

Walaupun trend menikmati sajian berteraskan hiburan terus berkembang di seluruh rantau ini, pengunjung di Malaysia tetap berpegang kepada nilai tradisional, menghargai makanan yang memberi kenyamanan, membina hubungan dan mempunyai cerita, sejajar dengan tema utama laporan tersebut iaitu  ‘kenyamanan ialah kemewahan baharu’. 

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan