PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu penyandang Kursi Pengajian Melayu KPT di universiti luar negara benar-benar berfungsi serta memainkan peranan sebagai duta akademik dalam memperkenalkan bahasa Melayu dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata antara terma yang akan disemak semula bagi mencapai hasrat itu adalah memastikan pengajian Melayu dan budaya Malaysia dilaksanakan secara proaktif kepada pelajar yang berminat untuk mengikutinya
“Pada kali ini saya nak pastikan supaya kursi ini berfungsi dan antara terma (yang akan disemak) ialah memastikan supaya pengajian Malaysia dapat dilakukan di sana dan juga pengajaran bahasa Melayu kepada pelajar yang ingin mengikuti kursus berkaitan Bahasa Melayu termasuk budaya Malaysia dapat kita perkenalkan,” katanya.
Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025 di sini semalam.
Beliau berkata KPT telah mengarahkan semakan semula terhadap kedudukan semua Kursi Pengajian Melayu KPT di universiti luar negara bagi memastikan keberadaannya mencapai matlamat negara.
“Keberadaan mereka di sana bukan sekadar akademik tetapi berperanan sebagai duta yang memperkenalkan Malaysia melalui bahasa, budaya dan pengajian Melayu,” katanya.
Beliau berkata Kursi Akademik Luar Negara KPT yang aktif ketika ini adalah Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University, China; Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat; dan Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand.
Terdahulu dalam ucapannya, Zambry berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu disemarakkan bukan hanya di peringkat kementerian tetapi juga di peringkat global melalui peranan Kursi Pengajian Melayu KPT di universiti luar negara.
Beliau berkata penyandang kursi tersebut berperanan sebagai penghubung antara Malaysia dan masyarakat antarabangsa melalui pengajaran bahasa Melayu dan budaya negara.
Tambah beliau setiap penyandang kursi berkenaan perlu membuka kelas pengajaran bahasa Melayu dan memperkenalkan program pengajian Malaysia di universiti masing-masing sebagai usaha memperluas kefahaman terhadap Malaysia.
Pada majlis itu, Zambry turut menyampaikan Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu, dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, RM5,000, sijil dan piala.
Pemenang Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu Prof Madya Dr Norliza Jamaluddin, 55, menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan terbesar KPT kepadanya selama lebih 20 tahun berkhidmat sebagai tenaga pengajar.
Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata anugerah berkenaan merupakan satu daripada usaha KPT dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi.
“Secara tidak langsung dapat menjadikan bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi tetapi bahasa bagi menyampaikan ilmu,” katanya.
Sementara itu, pemenang Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu, Nor Mahani Md Rasidi, 44, berkata kemenangan itu membuktikan cabaran yang dihadapi apabila menggunakan bahasa Melayu dalam kelas kejuruteraan membuahkan hasil.
“Tidak ramai yang terjemah istilah kejuruteraan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Saya berbesar hati mahu memperkasakan bahasa Melayu melalui penterjamahan istilah ini,” kata Pensyarah Utama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.
-- BERNAMA