JENAYAH & MAHKAMAH

SUSPEK BERSEMBUNYI DI TEPI HALAMAN RUMAH SEBELUM SERANG MANGSA - POLIS

18/10/2025 12:10 AM

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Suspek yang menyerang bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak, awal pagi tadi dikatakan bersembunyi di tepi halaman rumah mangsa di Taman Pekaka, di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kejadian berlaku pada 6.45 pagi ketika mangsa berusia 74 tahun pulang ke rumah dari masjid selepas selesai menunaikan solat subuh.

“Apabila tiba di hadapan rumah, mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki disyaki warga tempatan bersembunyi di tepi halaman rumahnya, namun sebaik mangsa menghampiri, suspek tiba-tiba mengacukan objek berwarna hitam ke arahnya sebelum menyerang mangsa dengan objek berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut Azizee, suspek kemudian melarikan diri dengan memanjat pagar rumah selepas mangsa menjerit meminta bantuan dan jiran yang menyedari kejadian turut cuba mengejar suspek, namun gagal.

Katanya, kejadian itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kepala dan menerima 16 jahitan di sebuah klinik berhampiran. 

Beliau berkata hasil siasatan dan tindakan pantas polis telah berjaya menangkap suspek, seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun di kawasan Bayan Lepas, kira-kira 2.30 petang tadi.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod kesalahan jenayah narkotik. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan