JENAYAH & MAHKAMAH

KES TIKAM: SUSPEK HANYA DIKETAHUI ADA MASALAH PEMBELAJARAN BUKAN MENTAL

16/10/2025 01:41 PM

KLANG, 16 Okt (Bernama) -- Pihak sekolah mengetahui suspek yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya Selasa lepas, hanya mempunyai masalah pembelajaran, kata Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar. 

‎‎Beliau berkata dakwaan yang tersebar mengatakan bahawa pihak sekolah mengetahui suspek berumur 14 tahun itu mempunyai masalah mental adalah tidak benar. 

‎‎"Saya berpendapat tidak adil‎ untuk saya memberikan komen tentang keadaan mental tersebut kerana pihak polis bukan pakar psikiatri, jadi kita perlu merujuk kepada pakar yang sepatutnya, dari segi fizikal, keadaan semasa nampak okey, itu saja saya boleh katakan.

‎‎"Setakat siasatan hingga kini, saya‎ dimaklumkan bahawa suspek ada menjalani proses kaunseling pemulihan untuk membaiki dari segi kaedah pembelajaran dia, bukan dari segi kesihatan mental atau personaliti dia, perkara ini diuruskan oleh pihak sekolah," katanya. 

‎‎Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Walkabout bersama Usahawan Little India bersempena dengan sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, di sini hari ini. 

‎‎Shazeli berkata pihaknya juga sedang melihat kepada pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu yang berkemungkinan menjadi faktor pendorong kepada tindakan kejam itu. 

‎‎Beliau berkata sebanyak dua lagi individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini selain hasil bedah siasat terhadap mangsa remaja perempuan itu akan diketahui dalam masa sebulan. 

‎‎"Polis kini sedang meneliti semua aspek termasuk motif dan pengaruh luar yang mungkin mendorong tindakan suspek," katanya.

‎‎Semalam, media melaporkan remaja lelaki yang menikam rakan sekolahnya itu sehingga maut didapati meminati mangsa secara rahsia. 

‎Mahkamah Majistret semalam turut membenarkan reman selama tujuh hari terhadap remaja itu bagi membantu siasatan. 

‎-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan