SEREMBAN, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM2.4 bilion untuk program penyenggaraan jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia bagi tahun ini sebagai usaha berterusan menyediakan infrastruktur yang selamat dan berkualiti untuk rakyat.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada jumlah itu, RM1.3 bilion dibelanjakan di bawah program berkala pavemen (BP), berkala bukan pavemen (BBP), lampu isyarat dan penyenggaraan jambatan setakat September lepas.
“Ini termasuk RM37 juta bagi program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya melibatkan 109 kerja, iaitu 76 kerja di bawah program blackspot dan 33 lagi di bawah program membina lintasan pejalan kaki searas lampu isyarat (LPKSI).
"Sehingga kini, sebanyak 77 Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan dan 1,402 bilangan CPC berjumlah RM1.1 billion dilaksanakan di bawah program penyenggaraan secara arahan kerja (AK),” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan CPC dan peruntukan program blackspot, LPKSI dan AK serta penyerahan surat setuju terima (SST) bagi projek jalan Persekutuan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata projek berkenaan bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan Persekutuan, tetapi turut menyumbang kepada rangsangan ekonomi tempatan kerana melibatkan lebih 1,700 kontraktor dan ratusan tenaga kerja secara tidak langsung.
Nanta berkata ia juga membuktikan komitmen kerajaan dalam aspek pembinaan dan penyenggaraan selain penambahbaikan secara berterusan bagi jalan Persekutuan secara menyeluruh di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Program blackspot misalnya, antara inisiatif strategik KKR bagi mengurangkan kadar kemalangan di lokasi berisiko tinggi berdasarkan data kemalangan yang dikumpulkan daripada pelbagai agensi, dengan kadar keberkesanan purata hingga 80 peratus," katanya.
Selain itu, projek LPKSI diperkenalkan bagi memastikan jalan raya mesra untuk semua lapisan pengguna dan lintasan berkenaan dilengkapi lampu isyarat khas yang dibina di kawasan institusi pendidikan serta pusat kesihatan yang mempunyai kadar pergerakan pejalan kaki yang tinggi.
Dalam pada itu, beliau Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut memberi tumpuan kepada pembangunan baharu berimpak tinggi dengan memperuntukkan RM2.6 bilion bagi pelaksanaan projek di Negeri Sembilan.
"Saya menyeru kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menggerakkan portal MYJalan untuk keselamatan rakyat," katanya sambil menambah portal berkenaan menerima 40,000 aduan termasuk kerosakan jalan dan longkang.
Beliau berkata pihaknya sentiasa komited memastikan setiap inisiatif pembangunan dan penyenggaraan jalan raya dilaksanakan dengan berkesan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI memperkukuh jaringan jalan raya yang berkualiti, mampan, lestari, selamat dan selesa.
-- BERNAMA