JENAYAH & MAHKAMAH

DADAH BERNILAI RM14 JUTA DIRAMPAS, PASANGAN SUAMI ISTERI ANTARA LIMA DITAHAN - BUKIT AMAN

16/10/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Lima individu termasuk sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah telah ditahan polis dalam operasi berasingan di sekitar Gombak serta Wangsa Maju pada Isnin dan Selasa lepas.

Pasangan itu ditahan di sebuah rumah teres sekitar Batu Caves, Selangor dan pemeriksaan polis menemukan 197 bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat kira-kira 200 kilogram serta 121 bungkusan plastik dadah metamfetamina seberat 125 kilogram, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM14 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata susulan tangkapan itu, pihaknya menahan tiga lelaki di kawasan parkir sebuah kondominium sekitar Wangsa Maju.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan di Batu Caves, Selangor berperanan sebagai penjaga stor dan wanita terbabit adalah isterinya manakala seorang lagi lelaki berperanan sebagai koordinator manakala dua lelaki yang ditahan merupakan rakan sekutu sindiket terbabit,” katanya semasa sidang media hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu, yang aktif awal tahun ini, mendapat bekalan dadah dari utara negara dan menjadikan rumah di kawasan Lembah Klang sebagai stor simpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Hussein berkata dadah terbabit disyaki dibawa masuk melalui jalan darat dan pihaknya masih menyiasat sama ada barang terlarang itu dibawa melalui laluan utama atau ‘jalan tikus’.

“Mereka ini dipercayai mengedarkan dadah kepada sindiket di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyita enam kenderaan pelbagai jenis dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM300,000.

“Kesemua individu yang ditahan negatif dadah hasil ujian saringan air kencing dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau serta direman tujuh hari hingga 20 Okt ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan