AM

RANCANG PERJALANAN DENGAN MYPLUS-TTA SEMPENA DEEPAVALI - PLUS

16/10/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pengguna lebuh raya disarankan merancang perjalanan lebih awal dan mendapat jadual perjalanan menerusi MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) antara 17 hingga 22 Okt ini.

Menurut kenyataan hari ini, PLUS memaklumkan langkah itu susulan jangkaan peningkatan trafik akan mencecah 2.2 juta kenderaan sehari pada hari puncak di rangkaian lebuh raya kendaliannya, iaitu pada 17, 18 dan 21 Okt, bersempena dengan perayaan Deepavali yang akan disambut pada 20 Okt dan cuti sekolah tambahan.

"PLUS telah bersiap sedia dan memberikan tumpuan khusus kepada pengagihan trafik, pengurusan kesesakan dan keselesaan pengguna bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa di lebuh raya pada musim perayaan Deepavali kali ini," menurut kenyataan itu.

Dengan penambahbaikan terbaharu, MyPLUS-TTA kini boleh diakses bukan sahaja pada musim perayaan, tetapi juga pada hari puncak terpilih, yang direka untuk membantu pengguna merancang perjalanan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 dengan lebih cekap serta membantu memastikan aliran trafik yang lebih lancar.

Sehubungan dengan itu, PLUS menasihati orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan MyPLUS-TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung, malah menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti.

Untuk mengakses jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, muat turun atau kemas kini aplikasi PLUS untuk merancang perjalanan dengan lebih mudah.

Mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) bagi meraikan Deepavali yang diumumkan kerajaan, PLUS memaklumkan diskaun itu akan dilaksanakan bermula 12.01 tengah malam, 18 Okt dan berakhir pada 11.59 malam, 19 Okt.

Bagaimanapun, pemberian diskaun itu dikecualikan di plaza tol di pintu masuk sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (Linkedua).

Bagi mengurus kesesakan dan melancarkan pergerakan trafik, PLUS akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 28 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di lokasi kritikal di lebuh raya.

Sementara itu, pengendali lebuh raya itu akan memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 antara 17 hingga 23 Okt, namun pengecualian diberi sekiranya berlaku kemalangan, kerja-kerja kecemasan atau pembaikan kritikal yang berisiko kepada keselamatan pengguna lebuh raya.

"Bagi melancarkan lagi pergerakan perjalanan orang ramai sepanjang tempoh perayaan Deepavali, PLUS turut mengambil beberapa langkah lain yang merangkumi persediaan di plaza tol serta kawasan rehat dan rawat (R&R).

"PLUS memohon kerjasama orang awam supaya dapat merancang perjalanan mereka dan menggunakan kemudahan awam lain seperti tandas dan surau yang disediakan di plaza tol atau kawasan rehat terdekat di sepanjang lebuh raya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan