PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan telah menghidupkan semula pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram terhadap seorang pengarah syarikat sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membatalkan pertuduhan terbabit.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk menghidupkan semula pertuduhan terbabit terhadap Tan Hoo Eng.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Sequerah berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membatalkan pertuduhan itu berdasarkan nota prosiding dalam satu kes sivil.
Beliau berkata Seksyen 33 Akta Keterangan 1950 melarang penggunaan bukti daripada perbicaraan kes sivil dalam prosiding jenayah dan kes Tan tidak terjumlah kepada mana-mana pengecualian di bawah peruntukan itu.
“Kami berpendapat isu berat sebelah dan siasatan yang tidak adil tidak boleh diputuskan secara ringkas berdasarkan afidavit,” katanya sambil menambah bahawa kesemua isu harus diputuskan dalam perbicaraan penuh melalui pemeriksaan rapi terhadap saksi.
Sequerah berkata memandangkan perbicaraan telah pun bermula, Pesuruhjaya Kehakiman yang mendengar kes itu sepatutnya membenarkan ia diteruskan hingga selesai dan tidak membatalkan pertuduhan terhadap Tan.
Panel itu kemudian menetapkan 27 Okt depan sebagai tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Ipoh.
Tan, 68, berdepan 30 pertuduhan CBT serta 54 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) antara tahun 2015 dan 2016.
Pada 2017, pertuduhan terbabit telah disemak semula dengan CBT membabitkan RM4.1 juta manakala AMLA berjumlah RM9.5 juta dan kesemua pertuduhan kemudiannya dipinda pada Ogos 2019.
Pada 2023, Tan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Ketika membebaskan Tan, Pesuruhjaya Kehakiman Moses Susayan (kini Hakim Mahkamah Tinggi) berkata hak wanita itu di bawah Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli selain sikap berat sebelah dan salah laku pihak pendakwaan menjejaskan keadilan dalam siasatan serta prosiding jenayah terhadapnya.
Beliau telah merujuk kepada nota prosiding dalam satu kes sivil untuk membuat kesimpulan tersebut yang membabitkan pertikaian antara Tan dan Lim Keck Eng iaitu pengarah serta pemegang saham setara syarikat Blue Star Moulding Sdn Bhd.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong dan Mohd Fuad Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Gurbachan Singh hadir bagi pihak Tan.
-- BERNAMA