POLITIK

PRN SABAH: CALON AMANAH SEDANG DIMUKTAMADKAN

17/10/2025 03:48 PM

BUTTERWORTH, 17 Okt (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) sedang memuktamadkan bilangan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan, kata Naib Presiden Adly Zahari.

Beliau berkata terdapat beberapa calon yang telah disenaraikan parti itu untuk bertanding, namun rundingan masih berjalan antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk pengagihan kerusi.

“Memang kami (Amanah) melalui PH, kami bekerjasama dengan rakan-rakan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga Barisan Nasional (BN) dalam mengadakan rundingan (pembahagian kerusi),” katanya.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan bercakap kepada pemberita selepas Majlis Graduasi dan Peluncuran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.

Adly bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan kerusi yang akan ditandingi Amanah, namun mengesahkan calon adalah dalam kalangan orang tempatan serta mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan