SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- AEON Co (M) Bhd (AEON) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menanam 100 pokok di sepanjang tebing Sungai Selangor di Kuala Selangor dalam usaha untuk memulihkan habitat kelip-kelip.
Menurut kenyataan AEON, sebanyak 50 pokok rumbia (Metroxylon sagu) dan 50 pokok berembang (Sonneratia caseolaris) ditanam di sepanjang tebing sungai Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan bersempena dengan program bertemakan ‘Terang di Hujung Dahan’.
Kedua-dua spesies pokok itu komponen penting untuk habitat semula jadi kelip-kelip.
“Usaha yang bermakna itu langkah penting ke arah pemulihan ekosistem sambil menyokong penyelidikan saintifik bagi memastikan kelestarian populasi kelip-kelip demi manfaat generasi masa depan.
“Aktiviti pada 11 Okt itu turut disertai sukarelawan daripada pelbagai organisasi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), persatuan komuniti tempatan seperti Inspirasi KAWA dan KONGRES (Kelab Generasi Warisan Seri Asahan) serta sukarelawan AEON,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir Pengarah LUAS Dr Mohmad Asari Daud, Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON Dr Kasuma Satria Mat Jadi, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan, Ketua Seksyen Perladangan MPOB Mohd Azmi Sunda dan wakil Presiden MPKS Muhammad Asyraf Kamarrazaman.
Dalam kenyataan yang sama, Kasuma Satria berkata kerjasama itu membuktikan kerjasama yang berterusan antara AEON dan FRIM dalam pemuliharaan alam sekitar, selain mencerminkan komitmen syarikat terhadap perlindungan biodiversiti dan keseimbangan ekosistem tempatan.
“Kami berharap inisiatif itu akan terus memberi manfaat kepada Kuala Selangor, bukan sahaja menerusi keindahan cahaya kelip-kelip pada waktu malam, tetapi juga melalui usaha bersama memelihara alam sekitar untuk kebaikan masyarakat dan generasi masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata FRIM komited untuk melaksanakan serta berkongsi dapatan penyelidikan daripada program berkenaan bagi memastikan kesan jangka panjang.
Beliau turut menghargai penyertaan rakan kongsi sektor swasta, khususnya AEON sebagai entiti korporat yang menzahirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membawa manfaat yang sungguh bermakna.
Kerjasama antara AEON dan FRIM dalam pemuliharaan habitat kelip-kelip di Kuala Selangor bermula sejak 2011 di Tanjung Beluntas.
Projek itu dilaksanakan dalam dua fasa meliputi aktiviti seperti pembersihan kawasan, penyelidikan, penanaman pokok dan penyelenggaraan.
Pada 2018, sukarelawan AEON bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor telah melaksanakan projek CSR melibatkan aktiviti penanaman pokok bagi menyokong habitat serangga itu di kawasan sama.
Setakat ini, AEON sudah menanam lebih 1,000 pokok di Kuala Selangor yang turut merekodkan pertumbuhan populasi kelip-kelip.
-- BERNAMA