AM

HARI STATISTIK NEGARA KUKUHKAN KESEDARAN KEPENTINGAN DATA - KETUA PERANGKAWAN

18/10/2025 06:19 PM

LIPIS, 18 Okt (Bernama) -- Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Sungai Koyan, di sini diadakan antara lain bertujuan memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan statistik kepada pembangunan negara.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penganjuran sambutan itu kali ini memberikan peluang kepada masyarakat luar bandar memahami kaedah penggunaan data dan statistik dalam merancang keperluan pembangunan seperti kemudahan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.

Beliau berkata statistik bukan sekadar angka, tetapi turut menjadi asas kepada keputusan dasar yang memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat serta kemampanan pembangunan kawasan luar bandar.

“Sebagai contoh, hospital dan sekolah tidak dibina secara spontan, sebaliknya dirancang berdasarkan data kelahiran dan keperluan pendidikan yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Malaysia juga cemerlang apabila berada pada kedudukan nombor satu dunia dari segi kewujudan data rasmi, keterbukaan dan kebolehcapaian data, hasil pelbagai inisiatif digital seperti OpenDOSM dan platform interaktif yang dibangunkan jabatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan hari ini. 

Mohd Uzir berkata antara inovasi terkini DOSM ialah membangunkan kalkulator jangka hayat dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang membolehkan pengguna menilai kos sara hidup berdasarkan profil keluarga, umur dan lokasi tempat tinggal mereka.

“Data sedemikian membantu majikan dan pekerja memahami realiti kos hidup setempat, sekali gus menyokong dialog yang lebih seimbang dalam penentuan gaji dan produktiviti.

"DOSM juga sedang membangunkan aplikasi mudah alih TANYA DOSM yang bakal memudahkan orang ramai mengakses data rasmi dengan lebih pantas dan interaktif, selaras dengan usaha memperkukuh budaya penggunaan data dalam kalangan rakyat,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata Sungai Koyan dipilih untuk menganjurkan sambutan berkenaan bagi memberikan tumpuan kepada komuniti luar bandar yang semakin berkembang.

Bersempena dengan sambutan bertemakan "Statistik Nadi Kehidupan", pelbagai program dianjurkan selama tiga hari bermula semalam antaranya pertandingan aplikasi berasaskan data (Datathon), debat dan program bersama komuniti, dengan penyertaan pelajar universiti serta masyarakat setempat.

Selain mengadakan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “AI dan Statistik: Nikmat buat Ummah” yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), program itu turut menjadi platform perkongsian pengetahuan mengenai potensi kecerdasan buatan (AI) dalam pengumpulan serta analisis data kebangsaan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan