AM

MARDI KOMITED PERLUAS TANAMAN BAWANG MERAH DI SABAH

18/10/2025 07:16 PM

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus komited membimbing petani tempatan mengamalkan teknik pertanian moden dalam usaha memperluas penanaman bawang merah di Sabah.

Menurut kenyataan MARDI hari ini, pengusaha bawang di negara ini mampu meraih pendapatan tinggi yang mencecah RM35,000 semusim sekiranya menggunakan teknik penanaman moden, benih berkualiti serta mengoptimumkan penggunaan baja dan sistem pengairan.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abd Ghani berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi melaksanakan kursus-kursus dan latihan amali kepada petani, khususnya di Sabah dengan memberikan pendedahan terhadap penggunaan teknologi moden yang lebih efisien dan berdaya saing.

“Diharapkan kursus yang dijalankan ini dapat membuka mata para petani untuk menceburi bidang tanaman bawang dan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Kalau lihat pada keluasan satu ekar, penanaman bawang boleh menghasilkan lima hingga enam tan bawang dengan harga semasa yang boleh mencecah RM35,000 semusim dalam tempoh lebih kurang 90 hari,” menurut kenyataan itu.

Dalam kursus teknologi penanaman bawang merah yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup di Sook hari ini, lebih 200 peserta diperkenalkan kepada pelbagai varieti bawang serta kaedah penanaman bawang konvensional dan sistem fertigasi.

Kursus yang diadakan bersempena dengan Program Mini Karnival Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu diharap dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknikal petani tempatan bagi memperluas penanaman bawang merah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import bawang.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan