ALOR GAJAH, 18 Okt (Bernama) --Melaka bakal menjadi negeri perintis bagi pelaksanaan sistem baharu pengurusan tanah perkuburan yang dinamakan Kubur Digital.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu menjadi platform untuk menambah baik pengurusan tanah perkuburan tradisional di negeri ini dengan menomborkan setiap plot kubur secara digital sekali gus memudahkan waris mengesan lokasi kubur ahli keluarga.
Beliau berkata Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini akan menjadi lokasi rintis sebelum sistem itu diperluaskan ke seluruh negeri pada masa akan datang.
“Seperti kita maklum, bilangan kubur semakin bertambah dan ada tanda atau penanda asalnya sudah hilang. Malah, ada waris hanya bergantung kepada struktur atau tanda semula jadi seperti pokok untuk mengenal pasti lokasi kubur.
“Keadaan ini tidak cukup spesifik untuk membantu pencarian kubur ahli keluarga. Menerusi projek Kubur Digital, kita akan menomborkan semua kubur lama secara digital sebagai rujukan bagi memudahkan generasi akan datang menziarahi pusara keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar serta delegasi menteri agama dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada MABIMS kerana memilih Kampung Pulau sebagai lokasi perintis Program Kampung Angkat MABIMS.
"Saya yakin pemilihan ini akan memperkukuh jaringan kerjasama Islam serantau selain menjadikan Melaka sebagai antara nadi penggerak utama dalam memperkasa kesejahteraan ummah," katanya.
-- BERNAMA