KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pasangan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal mara ke final selepas tewas kepada pilihan utama Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China pada aksi separuh akhir mendebarkan Terbuka Denmark 2025, hari ini.
Juara dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tunduk 17-21, 21-18, 18-21 dalam pertarungan sengit selama 65 minit di Arena Jyske Bank.
Tang Jie-Ee Wei menampilkan keazaman tinggi apabila bangkit selepas tewas perlawanan pembukaan untuk mengheret permainan ke set penentuan namun pasangan China itu kekal tenang pada momen-momen getir aksi penentu untuk akhirnya menempah tempat ke final.
Ia merupakan kemenangan keempat pasangan China itu daripada enam pertemuan mereka dengan beregu negara.
Jiang-Wei akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara mereka dan juara bertahan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun pada pusingan akhir esok.
-- BERNAMA