AM

LEBIH 100 FASILITI KESIHATAN DIKENAL PASTI BERISIKO DILANDA BANJIR

22/10/2025 01:38 PM

KOTA BHARU, 22 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti lebih 100 fasiliti kesihatan di seluruh negeri itu, yang berisiko dilanda banjir menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata fasiliti itu melibatkan dua kategori iaitu klinik yang ditenggelami air dan kategori kedua adalah fasiliti yang tidak dapat diakses untuk mendapatkan perkhidmatan.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil langkah awal dengan menyediakan pelan tindakan banjir bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu sekiranya berlaku bencana.

“Jabatan ini melakukan kesiapsiagaan untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan pada musim tengkujuh nanti termasuk mengenal pasti fasiliti kesihatan yang berisiko banjir.

“Selain itu, hospital-hospital di negeri ini juga dimaklumkan untuk memastikan bekalan ubat mencukupi serta mengenal pasti pesakit yang berisiko tinggi,” katanya pada Program Citra Remaja Unggul di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra di sini hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata pihaknya akan meneliti dakwaan kehabisan bekalan ubat antiviral influenza berikutan peningkatan kes berkenaan di negara ini termasuk di Kelantan.

“Saya akan semak perkara ini dan dapatkan data (bekalan ubat antiviral influenza). Bagaimanapun, seperti kita maklum Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan berlaku peningkatan kes.

“Oleh itu, kami berharap mereka yang bergejala perlu mengambil langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka. Pelajar-pelajar yang mengalami gejala juga dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah dan mengasingkan diri,” katanya.

Bernama pada Sabtu lepas melaporkan, sebanyak tujuh kluster direkodkan membabitkan beberapa buah sekolah setakat 15 Okt lepas, namun keadaan terkawal. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan