KOTA BHARU, 23 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjangkakan bekalan ikan terutamanya di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu tidak terjejas teruk sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini.
Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada persatuan nelayan di negeri berkenaan berhubung tidak dapat ke laut kerana bergelora.
"Jika dibandingkan pada Oktober tahun lalu, negeri di Pantai Timur sudah dilanda banjir. Namun, ketika ini cuaca dikatakan masih baik dan hanya sekali sekala sahaja hujan berlaku terutamanya pada sebelah petang.
"Malah, mengikut maklumat yang diperolehi setakat ini, semua jenis bot termasuk kelas A (di pantai barat) kelas B dan juga C serta C2 termasuk juga nelayan-nelayan di persisiran pantai masih boleh turun ke laut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama nelayan Kota Bharu sempena perasmian stesen minyak mudah alih atau portable container system (PCS) Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu di Petron PCS, Kuala Besar di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata bagaimanapun pihaknya tetap mengambil langkah kesiapsiagaan untuk berdepan sebarang kemungkinan ketika musim tengkujuh.
Beliau berkata pihaknya juga telah menempatkan bekalan ikan QFISH sebanyak 116.78 matrik tan (MT) di seluruh negara membabitkan lima penyimpan dan setiap bekalan mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan.
"Bekalan di Ibu Pejabat Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) adalah sebanyak 12.50 MT, Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (0.92 MT), Persatuan Nelayan Negeri Selangor (1.10 MT), Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (3.76 MT) dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut (98.50 MT).
"Berdasarkan data juga, keseluruhan pendaratan bekalan ikan dalam negara mencatatkan kenaikan sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya. Kelantan mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 29 peratus diikuti Melaka 23.3 peratus dan Perlis sebanyak 18.5 peratus," katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata Malaysia dijangka tidak berdepan cuaca ekstrem pada MTL ini dan fenomena La Nina diramalkan lemah serta tempohnya singkat iaitu bermula akhir tahun ini hingga Februari 2026.
-- BERNAMA
