PORT DICKSON, 23 Okt (Bernama) -- Kejadian ombak besar dan air pasang setinggi kira-kira tiga meter berhampiran Jeti Kelong Mamod, Kampung Kuala Lukut, Chuah di sini semalam menyebabkan sebahagian jalan di kawasan nelayan itu retak sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar.
Penduduk yang juga nelayan Mohd Azrul Johari, 38, berkata kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 pagi itu turut menjejaskan tembok penahan ombak berhampiran.
“Di kawasan ini ada beberapa rumah penduduk dan ketika kejadian saya dan keluarga berada di rumah. Memang ombak kuat, tak sangka jalan depan rumah hampir 100 meter rosak dan tak dapat dilalui kenderaan ringan. Ia kejadian pertama kali berlaku, sebelum ini ada kejadian air pasang tapi semalam paling kuat.
“Saya harap ia dibaiki segera kerana jalan ini bukan sahaja digunakan oleh penduduk sekitar dan nelayan tetapi pengunjung dari dalam dan luar negeri yang datang untuk memancing di kawasan ini, selain jalan utama ke jeti ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah Yew Boon Lye yang turut meninjau kawasan itu berkata perkara berkenaan dalam perhatian Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan telah mengarahkan jabatan berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.
“Buat masa ini keadaan terkawal dan tiada mangsa yang perlu dipindah ke pusat pemindahan sementara. Pejabat daerah juga akan membersihkan kawasan ini tapi kena tunggu minggu hadapan sebab air pasang masih besar lagi ketika ini.
“Jabatan Pengairan dan Saliran juga sedang membuat anggaran kos untuk membina penahan ombak di kawasan ini bagi mengelakkan perkara ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan nelayan supaya tidak turun ke laut buat sementara waktu susulan keadaan laut bergelora dan ombak kuat sebagai langkah keselamatan.
-- BERNAMA
