AM

MELAKA JADI HAB PENERBANGAN SERANTAU MELALUI PEMBANGUNAN PUSAT KECEMERLANGAN PENERBANGAN

23/10/2025 08:53 PM

MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Melaka dijangka menjadi hab penerbangan dan pendidikan teknikal serantau menerusi pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaksanaan projek strategik itu melalui kerjasama antara kerajaan negeri menerusi Perbadanan Melaka Corporation (MCORP) dan Weststar Aviation Services Sdn Bhd yang dimeterai hari ini.

“Weststar Aviation membentangkan cadangan pelan pembangunan di kawasan seluas 6.91 hektar dalam LTAM bagi pelaksanaan fasa pertama projek yang dijadualkan bermula pada 2026, manakala proses pengambilan tanah dijangka diselesaikan dalam tempoh dua minggu bermula hari ini.

“Fasa pertama menumpukan kepada tiga komponen utama iaitu pusat latihan penerbangan helikopter, hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter serta hab logistik helikopter,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan projek itu di Seri Bendahara di sini hari ini.

Terdahulu, pada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama itu, MCORP diwakili Ahli Lembaga Pengarah Datuk Khaidirah Abu Zahar manakala Weststar Aviation diwakili Pengarah Eksekutif Syed Azni Syed Azman.

Selain itu, Ab Rauf berkata projek itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, sekali gus menjadikan Melaka antara pusat tumpuan utama latihan dan operasi penerbangan helikopter di rantau Asia Tenggara.

“Pembangunan pusat ini bukan sekadar projek fizikal tetapi pelaburan jangka panjang dalam ilmu, kemahiran dan masa depan generasi muda Melaka. Ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap Melaka sebagai destinasi strategik industri penerbangan serantau,” katanya.

Beliau berkata lebih 40 syarikat tempatan dan antarabangsa telah menyatakan minat serta komitmen untuk turut serta dalam pembangunan itu, yang memperlihatkankan keyakinan terhadap potensi ekonomi dan kestabilan pentadbiran Melaka.

Sementara itu, Pengerusi Weststar Aviation Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata projek tersebut dijangka membawa nilai pelaburan melebihi RM300 juta ke Melaka selain membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor penerbangan.

“Weststar amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan kerajaan Melaka untuk membangunkan pusat ini yang dilihat dapat memperkukuh sistem pendidikan penerbangan dan membuka peluang ekonomi lebih luas kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau memaklumkan terdapat lebih 10 komponen pembangunan dirancang termasuk hab MRO, hab logistik, pusat latihan simulator penerbangan, pusat kecemerlangan Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO) dan muzium penerbangan serta fasiliti lain yang akan menjadikan Melaka sebagai pusat rujukan penerbangan bertaraf antarabangsa.

“Projek ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri penerbangan negara malah menjadi platform latihan bertaraf dunia bagi melahirkan tenaga mahir tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan