AM

PRESIDEN BRAZIL LAWAT MALAYSIA, HADIRI SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-47 SEBAGAI TETAMU PENGERUSI

23/10/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 25 hingga 27 Okt ini serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di sini, sebagai Tetamu Pengerusi.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini merupakan lawatan rasmi pertama Lula da Silva ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden bagi penggal baharu pada Januari lepas dan beliau akan diiringi Wanita Pertama Janja Lula da Silva, beberapa Menteri Kabinet serta pegawai kanan Kerajaan Brazil.

Kenyataan itu memaklumkan Lula da Silva akan diberikan upacara sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 25 Okt ini diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula hubungan dua hala Malaysia-Brazil serta membincangkan usaha untuk memperkukuh lagi kerjasama.

“Perbincangan akan merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan; semikonduktor; sains, teknologi dan inovasi; tenaga boleh diperbaharui dan biofuel; industri halal; kerjasama dalam sektor pertanian dan agrokomoditi; kesihatan serta pendidikan,” menurut kenyataan itu.

-- LAGI

 

ASEAN-BRAZIL (LAWATAN) 2 KUALA LUMPUR

 

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk kerjasama dalam kerangka ASEAN, BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain persiapan Brazil untuk menjadi tuan rumah Persidangan Pihak-Pihak ke-30 di bawah Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (COP30) di Belém pada November 2025.

“Perbincangan ini juga dijangka meneroka potensi kerjasama di bawah Global Alliance Against Hunger and Poverty, di samping menegaskan komitmen teguh kedua-dua negara terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran enam Memorandum Persefahaman (MoU) yang meliputi bidang seperti semikonduktor, sains, teknologi dan inovasi serta kerjasama antara badan pemikir selain Pertukaran Nota (EoN) mengenai latihan diplomatik dan Surat Niat (LOI) dalam kerjasama Sumber Genetik dan Bioteknologi.

Sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, sumbangan dan komitmen Lula da Silva dalam pembangunan antarabangsa khususnya dalam memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan, beliau akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pembangunan Antarabangsa dan Selatan Global oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada Majlis Konvokesyen Khas pada 25 Okt ini. 

Menurut kenyataan itu, Presiden Brazil berkenaan dijemput untuk menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada 26 Okt ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau turut dijemput untuk menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 serta menghadiri Majlis Jamuan Gala yang dihoskan oleh Anwar dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 27 Okt ini.

Wisma Putra memaklumkan Lula da Silva juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia dari 25 hingga 26 Okt 2025.

Pada 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM20.36 bilion (USD4.46 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Brazil merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, minyak sawit, getah, peranti perubatan serta farmaseutikal halal manakala import dari Brazil terdiri daripada bijih logam dan sekerap logam, makanan terproses, produk petroleum serta petroleum mentah.

Menurut kenyataan itu, lawatan ini mencerminkan hubungan rapat dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Brazil yang berteraskan sikap saling menghormati, kemakmuran serta aspirasi bersama untuk memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan demi manfaat bersama kedua-dua negara.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan