AM

BANDAR DI SARAWAK PERLU TANAM LEBIH BANYAK POKOK - ABANG JOHARI

23/10/2025 08:45 PM

KUCHING, 23 Okt (Bernama) -- Lebih banyak pokok perlu ditanam di bandar seluruh Sarawak bagi membantu mengurangkan jumlah karbon dioksida di kawasan berkenaan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu seharusnya menjadi sebahagian daripada perancangan bandar, khususnya dalam mewujudkan persekitaran bandar yang lebih hijau dan mampan.

Beliau berkata Sarawak dianggap bertuah kerana kaya dengan sumber hutan semula jadi berbanding banyak tempat di dunia yang terpaksa mengimport pokok untuk landskap bandar mereka.

“Di tempat lain mereka mengimport pokok, tetapi kita mempunyai banyak pokok di hutan yang boleh ditanam semula di bandar-bandar kita. Apabila bandar kita menjadi lebih hijau, pokok ini membantu menyerap karbon melalui fotosintesis sekali gus membekalkan kita udara segar.

“Dalam erti kata lain, bandar perlu dirancang dengan cara ia boleh mengekalkan keseimbangan antara pelepasan karbon dan penghasilan oksigen,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa ke-11 mengenai Asia Rendah Karbon (ICLCA) di sini hari ini.

Abang Johari berkata perancangan bandar juga perlu memberi keutamaan kepada kemudahan rekreasi hijau dan sistem saliran yang berkesan. 

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan