| BERITA TERGEMPAR | Air Force One carrying US President Trump has landed at KLIA at 9.54 am | |
TAIPING, 25 Okt (Bernama) -- Kerajaan Perak akan melakukan kajian penilaian terhadap infrastruktur yang terjejas akibat banjir bagi keperluan permohonan peruntukan tambahan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata hasil penilaian berkenaan akan dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pertimbangan penyaluran peruntukan.
"Pegawai Daerah akan mengadakan mesyuarat dan post-mortem untuk melihat beberapa infrastruktur yang rosak teruk termasuk ada jambatan yang runtuh.
"Walaupun mungkin sukar untuk mendapat peruntukan tetapi NADMA barangkali ada peruntukan khas yang boleh membantu kita," katanya kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Matang Gelugor di sini hari ini.
Terdahulu beliau melawat beberapa PPS serta meninjau kawasan di empat daerah terlibat banjir sejak malam Khamis, iaitu Larut, Matang dan Selama (LMS), Manjung, Kerian dan Perak Tengah.
Semalam, kerajaan meluluskan RM1.2 juta peruntukan segera bagi pelaksanaan projek menangani masalah banjir di daerah LMS.
Sementara itu, Saarani berkata semua agensi keselamatan, jabatan teknikal serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah digerakkan sepenuhnya bagi melaksanakan operasi menyelamat, menyediakan kemudahan asas di PPS dan memastikan kebajikan mangsa terjamin.
Beliau berkata semua ketua jabatan juga telah diminta untuk mengaktifkan Skuad Ihsan MADANI Penjawat Awam di bawah penyelarasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selepas air surut.
"Langkah ini penting bagi mempercepatkan proses pasca banjir serta memastikan keadaan di kawasan terjejas dapat dipulihkan dengan segera," katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, serta tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau kawasan mudah dinaiki air.
Saarani berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersama semua agensi keselamatan akan terus memantau keadaan semasa dan memastikan bantuan disalurkan dengan cepat, teratur dan menyeluruh.
Setakat 5 petang tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 2,963 mangsa melibatkan 1,006 keluarga dengan dua lagi PPS dibuka di Manjung dan Kerian, menjadikan keseluruhan 28 PPS.
-- BERNAMA
