AM

KEMBOJA, THAILAND AKAN TANDATANGAN PERJANJIAN DAMAI DI KL HARI INI - PM ANWAR

26/10/2025 10:03 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kemboja dan Thailand akan menandatangani perjanjian damai di ibu negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini, Anwar berkata perjanjian itu mencerminkan keyakinan berterusan bahawa persefahaman dan dialog mampu mengatasi ketidaktentuan.

“Pagi ini, apabila Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai di sini, Kuala Lumpur, dunia akan melihat apa yang boleh dicapai dengan keyakinan itu.

“Ia mengingatkan kita bahawa perdamaian bukanlah satu konsesi, tetapi satu tindakan keberanian, dan apabila keamanan dipilih, ia mampu membentuk semula masa depan sesebuah negara,” kata beliau.

Pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão dan Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta serta Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik Carlos Felipe Jaramillo.

Perjanjian gencatan senjata itu menandakan satu detik bersejarah dalam diplomasi serantau ASEAN, mencerminkan komitmen blok berkenaan terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Thailand dan Kemboja telah lama bertelagah mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dengan pemangku Perdana Menteri Thailand pada masa itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan pertikaian di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Gencatan senjata terbabit, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada bertambah buruk dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.

Sementara itu, Anwar berkata selaku Pengerusi tahun ini, Malaysia berusaha untuk menyusun semula keutamaan ASEAN agar badan serantau itu kekal berdaya tahan, relevan dan responsif terhadap perubahan zaman.

“Bersama-sama negara anggota yang lain, kita telah berusaha mewujudkan keadaan yang kondusif untuk keamanan di Myanmar. Kita sedar bahawa usaha ini memerlukan kesabaran dan ketekunan, serta penghargaan yang jujur terhadap realiti di lapangan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata berpandukan Konsensus Lima Perkara, ASEAN telah menggunakan setiap saluran dan rakan kerjasama yang ada untuk mengurangkan keganasan dan meringankan krisis kemanusiaan.

“Namun, keamanan yang berkekalan tidak boleh dipaksa. Ia mesti dipimpin dan dimiliki oleh Myanmar sendiri – hanya dengan langkah itu perdamaian akan berkekalan,” kata beliau.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula hari ini hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan