AM

MENTERI LUAR ASEAN TEKANKAN KEUTAMAAN PELAKSANAAN 5PC BAGI MYANMAR DARIPADA PILIHAN RAYA

27/10/2025 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Menteri-menteri Luar ASEAN hari ini menegaskan sekali lagi bahawa Myanmar perlu melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu sebelum mengadakan sebarang pilihan raya, dan berikrar memperkukuh kerjasama menangani jenayah rentas sempadan yang berpunca daripada konflik berkenaan.

Dalam kenyataan Semakan dan Keputusan Pemimpin ASEAN mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, para menteri menyeru semua pihak melaksanakan sepenuhnya 5PC bagi mencapai proses perdamaian yang inklusif, berkekalan serta diterajui  dan dimiliki oleh rakyat Myanmar sendiri.

5PC yang diterima pakai oleh ASEAN pada April 2021 menyeru kepada penamatan keganasan, dialog inklusif, pelantikan utusan khas, pemberian bantuan kemanusiaan serta kebenaran kepada utusan khas untuk berhubung dengan semua pihak berkaitan.

“(Kami) menggesa semua pihak dan pihak berkepentingan di Myanmar, khususnya angkatan tentera dan pasukan keselamatan terbabit, supaya mengurangkan keganasan serta menghentikan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, di samping mempertingkat usaha membina kepercayaan,” menurut kenyataan itu.

Para menteri turut menggesa pelaksanaan penuh gencatan senjata yang diperluas dan dilanjutkan, seperti yang dipersetujui pada Mei tahun ini.

Sambil mengambil maklum rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember tahun ini, para menteri menegaskan kepentingan memastikan pilihan raya umum dijalankan secara bebas, adil, aman, telus, inklusif dan berwibawa.

“Kami menegaskan bahawa penamatan keganasan dan dialog politik inklusif mesti didahulukan sebelum pilihan raya diadakan,” menurut kenyataan itu.

Myanmar sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember 2025 dan telah menjemput negara anggota ASEAN menghantar pemerhati pilihan raya, seperti yang diambil maklum dalam kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Myanmar akan terus diwakili secara bukan politik dalam Sidang Kemuncak dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sehingga terdapat kemajuan bermakna dalam pelaksanaan 5PC.

Menteri-menteri turut bersetuju bahawa negara anggota ASEAN harus terus merujuk kepada 5PC dan berkoordinasi dengan Pengerusi ASEAN dalam usaha menangani krisis Myanmar.

Namun, krisis Myanmar dijangka tidak akan menjejaskan proses pembinaan Komuniti ASEAN dan dalam membuat keputusan bersama, sambil mereka berikrar untuk terus bekerjasama dalam mengekalkan dan mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

ASEAN turut mengulangi komitmen untuk terus berhubung dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar bagi membina kepercayaan dan mewujudkan suasana kondusif untuk dialog, dengan sokongan negara jiran serta rakan luar.

Blok itu juga berikrar memperkukuh kerjasama menangani jenayah rentas sempadan berpunca daripada konflik berkenaan termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, perpindahan penduduk, ancaman siber dan penipuan dalam talian.

Mereka turut menugaskan pegawai kanan untuk meneliti cadangan mengenai pelantikan Utusan Khas ASEAN bagi Myanmar jangka panjang bagi memastikan kesinambungan dalam penglibatan dan diplomasi, di samping menyokong rundingan tidak rasmi yang sedang dijalankan melalui mekanisme troika melibatkan pengerusi semasa, terdahulu dan akan datang ASEAN.

Para menteri juga menggalakkan rakan serantau dan antarabangsa menambah sokongan kewangan bagi memastikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan  Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) dapat diteruskan serta disampaikan dengan  selamat, berkesan dan tanpa diskriminasi, termasuk melalui saluran rentas sempadan jika perlu.

ASEAN turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan lain bagi membantu rakyat Myanmar mencapai keamanan, kestabilan dan demokrasi, serta akan menilai semula kemajuan pada mesyuarat akan datang.

Myanmar kini terperangkap dalam perang saudara berbilang penjuru yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan memindahkan jutaan penduduk sejak tentera merampas kuasa serta menyingkirkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, pada Februari 2021.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan