AM

TIMOR-LESTE SECARA RASMI SERTAI ASEAN, LENGKAPKAN PETA ASIA TENGGARA

26/10/2025 11:24 AM

Oleh V. Sankara, Zarul Effendi Razali dan Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Timor-Leste hari ini secara rasmi menyertai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai anggota ke-11 sekali gus menandakan detik bersejarah bagi negara itu dan juga blok serantau berkenaan. 

Penyertaan itu, yang merupakan perluasan pertama ASEAN dalam tempoh 26 tahun, dimuktamadkan melalui penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Antara yang menandatangani deklarasi itu ialah Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar U Hau Khan Sum.

Timor-Leste diwakili oleh Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.

Langkah ini dibuat susulan penyerahan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) pada 25 Okt, yang merupakan langkah perundangan terakhir bagi melengkapkan keanggotaan penuh negara itu dalam ASEAN. 

ASEAN, yang ditubuhkan pada tahun 1967, kini terdiri daripada 11 negara anggota iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Penyertaan Timor-Leste melengkapkan peta Asia Tenggara, dengan Kemboja menjadi negara terakhir sebelum ini yang diterima masuk ke dalam blok serantau itu pada 30 April 1999.

Sebagai negara termuda di rantau ini, Timor-Leste yang meraih kemerdekaan pada 20 Mei 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011, yang menyaksikan perjalanan selama lebih sedekad dalam usaha memenuhi piawaian ekonomi serta keperluan institusi yang ditetapkan oleh blok serantau itu.

Tahun 2022 menyaksikan kemajuan signifikan apabila pemimpin-pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, dan memberikannya status pemerhati untuk menyertai mesyuarat ASEAN, termasuk sidang kemuncak, sebagai persediaan ke arah keanggotaan penuh.

Sidang Kemuncak ASEAN 2023 di Indonesia pula menyaksikan para pemimpin telah meluluskan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi, pembangunan modal insan, dan sokongan strategik dalam pembinaan keupayaan. 

Dengan populasi sekitar 1.4 juta orang, Timor-Leste masih bergantung tinggi kepada eksport minyak dan gas manakala sektor pertanian dan perkhidmatan kini semakin menyumbang kepada hasil negara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu meningkat sebanyak 3.4 peratus pada tahun 2024 kepada USD1.99 bilion dan dijangka terus berkembang sebanyak 3.9 peratus pada 2025, didorong oleh penurunan inflasi dan kestabilan fiskal. 

Timor-Leste juga merupakan satu-satunya negara berbahasa Portugis di Asia.

Presiden Ramos-Horta, dalam temu bual khas dengan Bernama di Istana Presiden di Dili, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Malaysia dan Perdana Menteri atas sokongan teguh kedua-duanya terhadap usaha Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.

“Kami berterima kasih kepada Malaysia dan semua pemimpin ASEAN atas kepercayaan mereka bahawa kami mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota ASEAN. Meskipun kami masih mempunyai kelemahan, kami berjanji untuk terus memperbaiki dan menjadi lebih baik dari tahun ke tahun,” katanya.

Ramos-Horta juga berkata Timor-Leste akan sentiasa menjadi “rakan setia dan teguh ASEAN”  serta komited untuk memainkan peranan aktif dalam memelihara keamanan, kestabilan dan memperkukuh perpaduan di rantau Asia Tenggara. 

“Matlamat kami adalah untuk menjadi sebahagian daripada visi ASEAN yang tidak meninggalkan sesiapa di belakang, serta berperanan dalam menjadikan Asia Tenggara sebagai mercu tanda keamanan, kemakmuran dan keadilan. Semoga suatu hari nanti, saya berpeluang mencalonkan ASEAN sendiri untuk Hadiah Keamanan Nobel,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan