 
      KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Media antarabangsa yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kini menanti dengan penuh minat majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba di ibu negara Malaysia.
Media yang diiktiraf diminta menunggu di sebuah daripada bilik mesyuarat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan untuk membuat liputan detik bersejarah itu.
"Delivering Peace - Cambodia Thailand Peace Deal" itu akan ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja iaitu Hun Manet di luar di sidang kemuncak berkenaan.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, dan Trump dijangka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai tersebut.
-- BERNAMA
 
