AM

PERDANA MENTERI KEMBOJA PUJI PERJANJIAN DAMAI KL, KOMITED LAKSANA SEPENUHNYA

26/10/2025 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Kemboja Hun Manet hari ini memuji Perjanjian Damai KL yang baru dimuktamadkan sebagai satu pencapaian bersejarah yang menandakan detik penting dalam memperkukuh kestabilan dan kerjasama dua hala antara Kemboja dan Thailand.

Berucap pada majlis menandatangani perjanjian itu di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini, beliau turut menegaskan komitmen kukuh Kemboja untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian tersebut dan akan terus bekerjasama rapat dengan Thailand.

“Bagi pihak rakyat Kemboja, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden (Amerika Syarikat) Donald Trump atas kepimpinan tegas dan komitmen berterusan beliau dalam menyokong keamanan berkekalan antara Kemboja dan Thailand serta atas usaha gigih beliau menjadikannya kenyataan.

“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan tulus ikhlas kepada Perdana Menteri Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas sokongan tidak berbelah bahagi dan peranan besar beliau dalam memudah cara proses damai ini hingga mencapai kejayaan,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul yang menandatangani Perjanjian Damai KL, disaksikan oleh Anwar dan Trump.

Manet turut menyatakan keyakinan bahawa masyarakat antarabangsa serta rakan-rakan utama akan terus memberikan sokongan dan menyumbang kepada pelaksanaan berkesan Perjanjian Damai KL.

Beliau memaklumkan bahawa pegawai kanan tentera Thailand dan Kemboja kini sedang berbincang mengenai pelan awal pengunduran berperingkat aset ketenteraan berat sebagai bukti awal komitmen bersama kedua-dua pihak untuk melaksanakan terma perjanjian tersebut.

“Pada masa yang sama, saya amat berharap agar 18 anggota tentera kami dapat dibebaskan dengan segera atas dasar kemanusiaan seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai,” katanya.

Manet turut memaklumkan bahawa beliau telah mencalonkan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau mempromosikan keamanan, bukan sahaja antara Kemboja dan Thailand tetapi juga dalam kalangan negara lain.

Thailand dan Kemboja telah lama terlibat dalam pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terbaharu pada 24 Julai lalu yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Gencatan senjata yang dicapai itu, yang dianggap sebagai antara kejayaan besar ASEAN, telah membantu mengelakkan konflik daripada merebak serta memastikan keselamatan ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025 dengan tema, “Keterangkuman dan Kemampanan” menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan