Oleh Linda Khoo
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Tenun Pahang Diraja hasil tangan prospek di Penjara Bentong bakal mencuri tumpuan apabila busana berasaskan tenunan eksklusif itu menghiasi para pemimpin ASEAN dan dunia pada Jamuan Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan malam esok.
Menonjolkan kehalusan seni budaya Malaysia, seramai 31 prospek yang dilatih dalam kemahiran Tenun Pahang Diraja menghasilkan 35 helai kain tenun tangan, masing-masing berukuran tiga meter panjang dan 35 inci lebar, untuk dijadikan pakaian rasmi bagi para pemimpin yang menghadiri acara berprestij itu.
Ketua Inspektor Penjara, Wan Yuzaini Wan Samsudin berkata daripada jumlah itu, 16 prospek bertanggungjawab terhadap kerja-kerja awal penenunan seperti penyediaan benang, pencelupan warna dan penyusunan corak, manakala 15 lagi menumpukan pada proses tenunan menggunakan alat tenun tradisional.
Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, para prospek mengambil masa kira-kira sebulan untuk memilih warna, corak dan reka bentuk sebelum memulakan tempoh penenunan selama tiga bulan.
“Ini benar-benar membuktikan kesungguhan dan ketekunan mereka dalam menghasilkan karya yang bernilai tinggi. Saya amat berbangga dan terharu melihat hasil ciptaan prospek kami dipamerkan di peringkat antarabangsa serta diiktiraf di pentas dunia,” katanya kepada Bernama.
Wan Yuzaini berkata pengiktirafan itu menjadi inspirasi kepada para prospek dan juga pegawai penjara untuk terus melahirkan tenaga mahir yang mampu menghasilkan karya berkualiti tinggi dan bernilai seni.
Pegawai yang bertanggungjawab mengurus Bengkel Tenun Pahang Diraja di Penjara Bentong menjelaskan bahawa padanan warna yang digunakan dalam rekaan busana pemimpin itu melambangkan status, adat tempatan dan identiti negara.
“Corak dan ragam hias pada Tenun Pahang Diraja yang dipilih menggunakan teknik ikat cuai serta bunga colek tabur yang mempunyai falsafah tersendiri. Reka corak kain tenun ini adalah warisan yang membawa identiti, darjat dan kepercayaan masyarakat Melayu di Pahang,” katanya.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan program pemulihan yang bermakna berasaskan kemahiran kepada prospek, sekali gus memberi peluang kedua kepada mereka untuk membina kehidupan baharu.
“Ia juga membuktikan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk berubah dan berjaya apabila diberi peluang serta kepercayaan,” tambahnya.
Menurut Wan Yuzaini, prospek menjalani latihan tersusun yang merangkumi semua peringkat penghasilan kain tenun tradisional - daripada penyediaan benang, pemasangan alat tenun hinggalah kepada penguasaan teknik tenunan halus di Bengkel Tenun Penjara Bentong.
Latihan tersebut dikendalikan oleh pegawai penjara terlatih yang memantau setiap peringkat dengan teliti bagi memastikan ketepatan dan kualiti hasil kerja.
“Pemantauan kualiti diberikan keutamaan bagi memastikan setiap helai kain tenun memenuhi piawaian Tenun Pahang Diraja. Para prospek turut mengikuti kursus dan bengkel secara berkala bagi mengekalkan tahap kemahiran tertinggi dalam seni tenunan,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, akan menjadi hos Jamuan Gala bagi pemimpin ASEAN dan para tetamu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.
Di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung dari 26 hingga 28 Okt, menghimpunkan pemimpin daripada kesemua 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
Acara ini dijangka menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhannya pada 1967, sekali gus menyerlahkan kedudukan rantau ini yang semakin menonjol di pentas global.
-- BERNAMA
