KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN mencerminkan komitmen teguh negara itu terhadap kerjasama serantau, tadbir urus baik dan hubungan aman antara negara, kata Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao.
Beliau berkata penyertaan ke dalam badan serantau itu juga menandakan pencapaian penting dalam perjalanan nasional negara berkenaan dan membuka lembaran baharu dalam kisah Asia Tenggara.
“Keanggotaan kami mengesahkan kedudukan Timor-Leste dalam keluarga Asia Tenggara. Ia merupakan hasil lebih dua dekad dalam pembinaan negara dan dedikasi kami terhadap keamanan, perkongsian dan kemakmuran bersama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Gusmao turut menyampaikan penghargaan kepada negara anggota ASEAN, rakan luar dan rakyat Timor-Leste atas sokongan mereka dalam menjadikan aspirasi negara yang sekian lama itu satu kenyataan.
Beliau berkata perjalanan Timor-Leste ke arah keanggotaan penuh yang bermula dengan permohonan pada 2011, dipandu oleh prinsip saling menghormati dan perpaduan dalam kepelbagaian, serta disokong oleh kerjasama rapat dengan negara anggota dan rakan kerjasama.
“Menyertai ASEAN pada saat penting ini menegaskan keyakinan kami terhadap solidariti serantau dan kepentingan tindakan bersama dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.
Gusmao berkata Timor-Leste bersedia untuk menyumbang secara aktif terhadap matlamat ASEAN, iaitu kestabilan, keterangkuman dan pertumbuhan mampan.
“Kami berharap dapat bekerjasama dalam membina Asia Tenggara yang aman, berdaya tahan dan saling berhubung, bersatu dalam matlamat dan masa depan bersama,” katanya.
Mengenai sambutan bersempena dengan kemasukan rasmi negara berkenaan ke ASEAN, Gusmao berkata pelbagai acara sedang diadakan di seluruh Timor-Leste.
“Ya, rakyat sedang meraikannya di setiap perbandaran kerana mereka telah menerima berita gembira ini. Beberapa misi diplomatik kami di luar negara turut mengadakan sambutan, bukan majlis besar, tetapi acara ringkas untuk menandakan detik bersejarah menjadi anggota penuh ASEAN,” katanya.
Ditanya mengenai konflik Myanmar, Gusmao berkata Timor-Leste menyokong penuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN sebagai rangka kerja utama untuk penyelesaian krisis terbabit yang aman dan berkekalan.
Beliau berkata konsensus berkenaan – yang menuntut penghentian segera keganasan, mengadakan dialog konstruktif antara semua pihak, pelantikan utusan khas pengerusi ASEAN untuk memudah cara rundingan dan dialog, serta penyaluran bantuan kemanusiaan melalui ASEAN – kekal sebagai langkah terbaik.
“Apabila kita berkata ASEAN bersetuju, ini bermakna Myanmar termasuk dalam ASEAN. Timor-Leste menyokong penuh pendekatan ini. Negara kita pernah melalui konflik sebelum ini dan kami tahu langkah penyelesaian yang terbaik ialah menerusi dialog dan keamanan,” katanya.
Gusmao berkata Timor-Leste bersedia untuk mengambil bahagian dalam inisiatif kemanusiaan yang berlandaskan prinsip dan tanggungjawab bersama ASEAN.
-- BERNAMA
