AM

PASANGAN PEMIMPIN SERANTAU, RAKAN DIALOG BANTU PUPUK PERSAHABATAN ASEAN - WAN AZIZAH

27/10/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pasangan pemimpin serantau dan rakan dialog memainkan peranan tersendiri dan berpengaruh dalam mempererat hubungan dalam komuniti ASEAN, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berucap pada Program Pasangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Carcosa Seri Negara hari ini, beliau berkata pasangan pemimpin sering berperanan sebagai soft diplomat yang membantu memupuk asas persahabatan jangka panjang yang melengkapi peranan pasangan mereka.

“Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ jelas terserlah menerusi program hari ini. Melalui budaya, kreativiti dan pengalaman dikongsikan, kita meraikan bagaimana hubungan sejati terjalin bukan hanya dalam pertemuan rasmi, tetapi juga melalui momen kegembiraan dan persahabatan.

“Bersama-sama, kita telah membina kerjasama yang bermakna dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pembangunan mampan. Hubungan kerjasama ini berlandaskan persahabatan dan komitmen bersama untuk mencapai masa depan yang aman, inklusif dan mampan untuk semua,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyambut pasangan ketua negara dan kerajaan di Carcosa Seri Negara termasuk isteri Presiden Korea Selatan Kim Hea Kyung, isteri Presiden Filipina Louise Araneta-Marcos, isteri Perdana Menteri New Zealand Amanda Luxon serta isteri Perdana Menteri Kanada Diana Fox Carney.

Program berkenaan turut dihadiri isteri Perdana Menteri Laos Vandara Siphandone, isteri Perdana Menteri Kemboja Dr Pich Chanmony Hun Manet, isteri Perdana Menteri Singapura Loo Tze Lui serta isteri Perdana Menteri Thailand Thananon Niramit. 

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta timbalannya Datuk Seri Noraini Ahmad.

Pada program berkenaan, Dr Wan Azizah mengiringi para wanita pertama melawat pameran yang  memaparkan kekayaan warisan Malaysia dan sejarah pemuliharaannya di Carcosa Seri Negara.

Antara yang dipamerkan ialah miniatur menarik yang menonjolkan masyarakat dan makanan tradisional ASEAN, selain menampilkan Warisan Budaya Tidak Ketara Malaysia seperti mekmulung, silat, makyung dan songket.

Selepas melawat pameran, mereka turut menyaksikan Pertunjukan Kebaya Malaysia yang memperagakan lima rekaan kebaya tradisional dari pelbagai negeri termasuk Kebaya Nyonya Pulau Pinang, Kebaya Negeri Sembilan, Kebaya Kelantan, Kebaya Selangor dan Kebaya Pahang.

Segmen Warisan Budaya Tidak Ketara ASEAN menampilkan lima rekaan kebaya yang menawan, mewakili Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura serta Thailand.

Setiap kebaya yang dihasilkan oleh pereka tempatan Lim Yu Lin itu, disulam halus dengan motif dan warna yang melambangkan identiti lima negara terbabit, yang bersama-sama telah mencalonkan kebaya untuk pengiktirafan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lepas.

Program berkenaan turut menampilkan demonstrasi secara langsung seni sulaman kasut manik oleh artisan Ong Bee Hong, yang memberikan tetamu gambaran mengenai ketelitian dan kehalusan hasil seni tangan.

Rombongan wanita pertama turut menyertai aktiviti menghasilkan terarium dengan dibimbing kurator tempatan, membolehkan mereka membawa pulang hasil ciptaan yang menggabungkan unsur semula jadi dan kreativiti.

Program berkenaan berakhir dengan jamuan makan tengah hari di Serai House dengan hidangan keropok lekor, apam balik, sate, nasi kerabu, laksa Penang serta bubur pulut hitam.

Sementara itu, Nancy menyifatkan program pasangan pemimpin itu sebagai sambutan yang bermakna terhadap budaya, perpaduan dan persahabatan serta menonjolkan kemesraan, kreativiti dan keramahan yang mencerminkan semangat Malaysia.

“Mereka (pasangan) amat gembira sebab mereka berpeluang untuk buat aktiviti bersama dan mempelajari warisan Malaysia yang unik dan ada antaranya mempunyai persamaan dengan negara mereka sendiri.

“Jadi boleh dikatakan kita berkongsi budaya yang sama sehingga menjadikan ASEAN sebuah keluarga yang aman damai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan