Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 16 Sept (Bernama) -- Kontinjen Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran membawa pulang 200 pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Dengan saingan berbaki lima hari sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya di Stadium Nasional Rajamangala, Sabtu ini, Malaysia sudah mengumpul 147 pingat secara keseluruhan merangkumi 30 emas, 31 perak dan 86 gangsa serta berada di tempat kelima setakat pukul 10 malam ini.
Malah, tidak mustahil kontinjen Malaysia mengatasi pencapaian 34 emas di Kemboja dua tahun lepas dengan menduduki tempat ketujuh, yang merupakan pencapaian terburuk negara pada temasya sukan dwitahunan itu.
Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk menambah koleksi pingat, lebih-lebih lagi menerusi sukan terjun dengan tawaran empat pingat emas yang bermula esok dan skuasy yang sedang berlangsung ketika ini, dengan empat pingat emas menjadi rebutan.
Dalam pada itu, tumpuan utama esok pula terarah kepada sukan muay apabila enam wakil negara akan turun berentap pada saingan akhir termasuk Yan Jia Chi atau lebih dikenali Angie yang merupakan pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (U23) Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) sebanyak tiga kali bermula 2023.
Angie akan beraksi dalam acara waikru individu wanita dan Malaysia akan turut diwakili Muhammad Mikhail Ghazali, adik jaguh Muay Thai negara Johan Ghazali yang akan berdepan wakil tuan rumah Suphakon Sirilun dalam kategori featherweight 57 kilogram (kg) di Stadium Tinju Lumpini.
Pasukan bola jaring juga dijadual menentang musuh tradisi Singapura dalam usaha memburu hatrik emas selepas kali terakhir dimenangi pada edisi 2019 di Filipina. Sukan bola jaring tidak dipertandingkan pada edisi 2021 dan 2023.
Sementara itu, Malaysia menambah koleksi empat pingat emas hari ini bermula dengan Megan Min Ern Ding daripada sukan ekuestrian, penembak Ong Chee Keng, gandingan boling lelaki Muhammad Rafiq Ismail-Muhammad Syazirol Shamsudin dan jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin.
Muhammad Irfan mencuri tumpuan apabila mempertahankan emas yang diraihnya sejak edisi 2013 di Myanmar selain memecahkan rekod temasya 59.50 meter (m) yang bertahan selama 26 tahun, dicipta Wong Tuck Yim dari Singapura pada edisi 1999 di Brunei.
Dalam saingan hari ini, lemparan sejauh 60.23m pada percubaan kedua sudah memadai baginya mengumpul emas ketujuh peribadi pada Sukan SEA pada hari terakhir aksi olahraga di Stadium Suphachalasai.
Chee Keng yang juga penembak berpengalaman mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 32 tahun Malaysia untuk meraih emas dalam acara trap individu lelaki di Lapang Sasar Menembak Photharam, Ratchaburi.
Atlet kelahiran Sarawak berusia 44 tahun itu membidik 39 mata dalam final enam peserta, sekali gus membawa pulang emas pertama negara dalam acara itu sejak Heng Chai Yee mencatat kejayaan sama pada edisi 1993 di Singapura.
-- BERNAMA
