KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir dalam industri pembinaan menerusi pelaksanaan dan penyelarasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata inisiatif itu dipimpin Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bertanggungjawab menyelaras pelbagai usaha TVET di agensi kerajaan.
"Penyelarasan ini tidak bermaksud semua agensi kerajaan disatukan, tetapi lebih kepada memastikan latihan TVET di setiap agensi seperti di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan kementerian lain berjalan dengan lebih tersusun dan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Bagi Kementerian Kerja Raya, Nanta berkata program TVET dilaksanakan di agensi seperti CIDB dan MARA untuk menambah tenaga kerja mahir khususnya dalam bidang kejuruteraan pada masa depan.
“Kita juga galakkan anak muda di universiti untuk menceburi bidang kejuruteraan supaya industri pembinaan negara tidak terjejas dengan kekurangan tenaga kerja mahir,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Nanta berkata kekurangan tenaga mahir, peningkatan kos bahan binaan dan tekanan berkaitan perubahan iklim adalah antara cabaran perlu dihadapi industri pembinaan di Asia.
“Namun, industri ini terbukti berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri. Meskipun lebih 70 peratus pemaju melaporkan peningkatan kos operasi, dan 60 peratus berdepan kekangan tenaga kerja serta bahan binaan, sektor pembinaan Malaysia terus menjadi pemacu utama pelaburan domestik dan mengekalkan pertumbuhan, seperti dinyatakan dalam Kajian Kestabilan Kewangan Bank Negara bagi separuh pertama 2025,” katanya.
Nanta berkata menurut Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan, sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 14.2 peratus pada suku pertama 2025, dengan nilai kerja dilaksanakan mencecah RM42.9 bilion.
Beliau berkata momentum itu berterusan pada suku kedua tahun ini, dengan nilai kerja dilaksanakan meningkat lagi kepada RM43.9 bilion, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.9 peratus.
Menurut Nanta, sepanjang separuh pertama tahun ini, jumlah aktiviti pembinaan mencecah RM86.8 bilion, meningkat 14.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Pertumbuhan ini didorong sektor swasta yang menyumbang lebih 63 peratus daripada keseluruhan nilai kerja, sekali gus mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap prospek sektor pembinaan dan infrastruktur negara,” katanya.
-- BERNAMA
