AM

LEBIH 87 PERATUS PELAJAR TVET TIDAK MENGETAHUI LALUAN KE PERINGKAT IJAZAH - FINCO

29/10/2025 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Sebanyak 87.7 peratus pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disoal selidik tidak mengetahui program berkenaan menawarkan kelayakan sehingga ke peringkat ijazah, menurut laporan Jangkauan Kolektif Industri Kewangan (FINCO).

FINCO dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan yang mengumpulkan maklum balas daripada 1,299 responden itu turut mendapati 96 peratus tidak mengetahui keseluruhan kelayakan TVET yang ditawarkan, dengan majoriti beranggapan TVET hanya menawarkan kelayakan sehingga peringkat sijil atau diploma.

Kenyataan itu turut memaklumkan walaupun bersifat vokasional, bidang seperti perakaunan, kewartawanan dan kejururawatan sering tidak diketahui sebagai bidang TVET, kemungkinan disebabkan persepsi statusnya yang lebih tinggi berbanding kerjaya yang lazimnya dilihat lebih bersifat manual.

“Laporan itu merangkumi maklum balas daripada 1,299 responden yang terdiri daripada empat kumpulan demografi utama iaitu orang awam dan belia tanpa pengalaman TVET, pelajar TVET semasa, graduan TVET serta majikan.

“Ia turut mendapati walaupun 45 peratus belia yang disoal selidik mempunyai persepsi positif terhadap TVET, hanya 35 peratus daripada mereka akan memilih untuk mengikuti laluan TVET,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan walaupun TVET masih dianggap oleh sesetengah pihak sebagai laluan pendidikan yang kurang penting, laporan berkenaan mendapati persepsi terhadap kebolehpasaran graduan TVET lazimnya berkait rapat dengan tahap pendedahan atau pengalaman langsung responden terhadap sistem berkenaan.

“Mereka yang mempunyai pendedahan lebih dekat kepada TVET cenderung memandang positif terhadap kerelevanannya dengan pasaran kerja, dan kumpulan ini berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai pulangan tinggi terhadap pelaburan dalam TVET, memandangkan pempengaruh media sosial memainkan peranan besar dalam pemilihan laluan pendidikan,” menurut FINCO.

Laporan itu turut menekankan graduan TVET mendapat permintaan tinggi dalam sektor yang tidak mempunyai halangan dasar syarikat, dengan 82 peratus majikan yang pernah menggaji mereka melaporkan graduan terlibat mempunyai sekurang-kurangnya sebahagian atau kebanyakan kemahiran serta pengetahuan penting yang diperlukan untuk melaksanakan tugas mereka.

Walaupun terdapat langkah positif dalam menyelaraskan kurikulum TVET dengan piawaian pekerjaan, isu jurang kemahiran dan kualiti masih wujud apabila Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini mendapati 70 peratus graduan tidak sepadan dengan pekerjaan mereka, manakala 43 peratus tidak bekerja dalam bidang yang mereka pelajari.

“Kerjasama lebih erat antara pendidik dan majikan bukan sahaja akan membantu meningkatkan persepsi masyarakat terhadap TVET, malah turut mempersiapkan pelajar dengan lebih baik untuk memasuki alam pekerjaan,” menurut kenyataan itu lagi. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINCO Clare Walker dalam kenyataan sama berkata matlamat organisasi itu untuk menyokong pelajar masa hadapan yang berdaya saing adalah selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang bertujuan melengkapkan individu dengan kemahiran dan pengetahuan praktikal sebelum mereka memasuki pasaran kerja.

“Oleh itu, amat penting bagi kami memahami halangan terhadap populariti dan kemajuan TVET supaya dapat membimbing pelajar sekolah membuat keputusan laluan kerjaya yang lebih berinformasi.

“Kami berharap dapatan yang diperoleh daripada laporan ini bukan sahaja dapat membantu usaha kami di sekolah dengan sokongan Kementerian Pendidikan tetapi juga menyokong para pendidik, institusi latihan, majikan, pembuat dasar dan pihak berkepentingan lain dalam sektor pendidikan,” katanya.

Pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim pula menegaskan TVET bukan sekadar melengkapkan golongan muda dengan kemahiran teknikal tetapi juga membentuk generasi yang mampu memacu ekonomi masa depan Malaysia.

Beliau berkata dalam usaha menyokong FINCO menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk memilih laluan kerjaya yang sesuai, termasuk laluan TVET, industri kewangan dapat menyumbang secara langsung dalam membangunkan tenaga kerja mahir yang dapat memperkukuh perniagaan serta mewujudkan kestabilan jangka panjang.

Laporan penuh berkenaan boleh diakses di laman sesawang FINCO di www.finco.my/reports.

FINCO adalah inisiatif kerjasama yang diterajui oleh institusi kewangan di Malaysia dengan sokongan Bank Negara Malaysia bagi menyediakan bimbingan dan alat pendidikan kepada kanak-kanak serta belia daripada golongan kurang berkemampuan untuk mencapai matlamat hidup mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 


MDHA SS3 NMN

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan