 
      SHAH ALAM, 30 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 17 individu bagi menganggotai institusi Islam negeri itu dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan di sini.
Lantikan bagi anggota perundangan melibatkan Ketua Hakim Syarie Nenney Shuhaidah Shamsuddin, Anggota Panel Tetap Hakim Rayuan Syariah Selangor Datuk Mohd Radzi Abd Latif dan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor Salwani Khalid
Istiadat hari ini turut menyaksikan pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor yang dikurniakan kepada Muhammad Amir Firdaus Sidin, Mohd Amir Yahaya, Norul Aina Bahari dan Ahmad Faizul Ashar.
Turut dilantik ialah Norhazli Rahim sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan pelantikan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah kepada Nurun Nabilah Ahmad Jaril, Mohamad Nasrin Kasnan, Nur Hani Athirah Zainal Bahari dan Nur Kamilah Mohamad Soleh.
Ketua Pendaftar serta Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk masing-masing dikurniakan kepada Mohd Raizalani Mohd Rais dan Mohammad Azli Ab Rahman.
Pelantikan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula dikurniakan kepada Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkuat kuasa mulai 16 Julai lepas menggantikan Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar selain turut menerima watikah sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi sesi 2024-2026.
Pada istiadat tersebut, watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dikurniakan kepada Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed dan Mohamed Izam Mohamed Yusof.
-- BERNAMA
