AM

RESIDENSI SUTERA VISTA, FASA PELENGKAP TAMAN SUTERA KAJANG

01/11/2025 08:47 PM

KAJANG, 1 Nov (Bernama) -- Residensi Sutera Vista, dengan 74 daripada keseluruhan 378 unit ditawarkan di bawah Skim Rumah Selangorku (RSKU), bakal menjadi pelengkap kepada visi MTD Properties dalam pembangunan Taman Sutera seluas 64.74 hektar (160 ekar) di sini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD Dr Nik Fauzan Nik Faizul berkata pembangunan dua blok kediaman 19 tingkat di atas tanah seluas 1.69 hektar (4.2 ekar) itu, merupakan fasa terakhir bagi projek pembangunan perbandaran moden, selesa dan berdaya huni berkenaan.

Beliau berkata Residensi Sutera Vista yang dijangka siap pada 2028, menawarkan unit kediaman berkeluasan antara 900 hingga 1,000 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM398,000.

“Kerja di tapak telah bermula dua bulan lepas dengan kerja cerucuk kini sedang dijalankan, lebih awal daripada jadual,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.

Nik Fauzan berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, terutama bagi unit di bawah RSKU apabila pendaftaran melebihi jumlah unit ditawarkan manakala pendaftaran bagi unit biasa juga telah melebihi separuh unit ditawarkan.

“Namun, kita belum dapat pastikan peratusan terjual kerana masih ada proses semakan pinjaman dan sebagainya. Dengan harga di bawah RM500,000, ia dianggap harga mampu milik bagi kawasan Kajang yang sudah matang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD Reime Rizal Abdul Aziz berkata pihaknya menawarkan rumah pada harga berpatutan tanpa mengorbankan kualiti binaan, reka bentuk moden dan kualiti hidup, selain memanfaatkan lokasi strategik projek.

“Residensi Sutera Vista merupakan sebuah komuniti yang kami bangunkan dengan sepenuh hati dan berfokus kepada keperluan sebenar rakyat. Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam memperkukuh aspirasi negeri untuk menyediakan kediaman mampan dan mampu milik bagi komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata Residensi Sutera Vista merupakan antara penyumbang kepada pelaksanaan Dasar RSKU 3.0, yang menyasarkan pembinaan 200,000 unit rumah mampu milik menjelang 2029.

“Saya harap projek ini akan memberi untuk memiliki rumah dan kemudahan kepada penduduk, khususnya di kawasan sekitar.

“Bagi Dasar RSKU 3.0, setakat ini sudah ada hampir 80,000 unit ke arah mencapai sasaran pada 2029. Namun, kita akan terus memantau perjalanan projek ini selain mengalu-alukan pemaju lain untuk meneruskan projek perumahan mampu milik sama ada di kawasan bandar atau luar bandar,” katanya.

MTD Properties, yang baru-baru ini menerima anugerah Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik  2025 daripada PropertyGuru Asia Awards Malaysia, telah membangunkan lebih 10 projek kediaman dan komersial di Taman Sutera hingga kini.

Pembangunan lain yang sedang dan telah dilaksanakan oleh syarikat itu, termasuk di Bangsar, Ayer Keroh, Seremban dan Jenjarom, selain projek di United Kingdom, Australia dan Filipina.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan