SUNGAI PETANI, 2 Nov (Bernama) -- Dentuman kuat didengari penduduk di sekitar bandar ini hari ini adalah program latihan dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpangkalan di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang mendakwa ada dentuman kuat antara 9 hingga 10 pagi tadi.
"Saya ingin memaklumkan bahawa bunyi itu dari pangkalan ATM dan latihan yang dijalankan adalah terkawal.
"Orang ramai dinasihatkan agar bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi tidak sahih khususnya menerusi media sosial bagi mengelak tercetusnya kekeliruan dan kegusaran awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bunyi dentum sama akan berulang esok antara 10 pagi hingga 12 tengah hari semasa latihan ATM dijalankan.
-- BERNAMA
