BANGI, 3 Nov (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merampas lebih 500 jenis ubat tidak berdaftar yang mengandungi steroid anabolik bernilai RM3 juta.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Mohd Zawawi Abdullah berkata kesemua produk berkenaan dirampas dalam satu operasi serentak bermula pada 9 pagi ini di lima premis termasuk di Bandar Puteri Bangi, di sini dan Klang.
"Lima premis itu dijadikan lokasi penyimpanan ubat tidak berdaftar bagi jualan di platform media sosial, dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain dan ada juga pelanggan mendapat produk secara terus dari premis," katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap satu unit kondominium di Bandar Puteri Bangi hari ini.
Mohd Zawawi berkata operasi terbabit turut membawa kepada beberapa penahanan individu termasuk sepasang suami isteri berumur 30-an.
"Ubat-ubatan itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara secara haram untuk dijual di pasaran tempatan. Kebanyakan ubat yang dirampas itu merupakan jenis suntikan dan dijual dengan harga antara RM100 hingga RM500," katanya.
Penggunaan suntikan steroid tanpa kawalan boleh mendatangkan kesan mudarat serius seperti penipisan kulit, peningkatan paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi, serta gangguan hormon apabila digunakan secara berlebihan atau berulang.
Penggunaan tidak terkawal juga boleh menyebabkan jangkitan, bengkak muka (moon face), perubahan emosi, dan dalam jangka panjang berisiko merosakkan organ seperti hati serta buah pinggang.
Penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda hingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala bagi syarikat, denda boleh dikenakan hingga RM50,000.
Beliau dalam pada itu, menasihati orang ramai supaya menyemak status pendaftaran produk kesihatan melalui laman sesawang NPRA http://www.npra.gov.my dalam ruangan “Product Search” sebelum membuat sebarang pembelian.
Orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan ubat yang meragukan sebagai usaha bersama untuk membanteras penjualan ubat yang tidak sah.
Aduan dan maklumat terbabit boleh disalurkan menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
-- BERNAMA
