KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat (AS) dijangka menikmati peningkatan jualan di Malaysia susulan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS.
Dalam satu kenyataan hari ini, BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit di bawah Fitch Solutions Group Ltd berkata perjanjian perdagangan itu akan memperkemas akses pasaran bagi produk farmaseutikal dan peranti perubatan keluaran AS di Malaysia dengan mengurangkan halangan peraturan sedia ada.
“Satu daripada peruntukan utama dalam perjanjian ini membolehkan Malaysia menerima pakai sijil dan kelulusan sedia ada daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS, sekali gus memudahkan laluan peraturan untuk pengeksport AS.
“Produk farmaseutikal yang diluluskan oleh FDA akan diiktiraf secara automatik di Malaysia tanpa keperluan kelulusan tambahan, kecuali sekiranya timbul isu serius berkaitan keselamatan atau kualiti. Langkah ini dijangka memudahkan kemasukan ubat-ubatan keluaran AS ke pasaran Malaysia,” menurut BMI.
Firma penyelidikan itu berkata gabungan antara kelulusan peraturan yang dipermudah dan pengiktirafan automatik FDA akan mempercepat pelancaran produk serta mengurangkan halangan kemasukan pasaran, sekali gus memberi manfaat kepada keseluruhan industri farmaseutikal di Malaysia.
“Kami menjangkakan pasaran farmaseutikal Malaysia meningkat daripada RM15.7 bilion pada 2025 kepada RM21.4 bilion menjelang 2029, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) lima tahun sebanyak 6.4 peratus,” katanya.
Sementara itu, ia berkata inisiatif kawal selia harga ubat yang diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada Ogos tahun lepas dijangka terus memberi tekanan terhadap margin keuntungan sektor farmaseutikal melalui penambahbaikan dalam proses perolehan dan rundingan harga kerajaan.
“Industri farmaseutikal telah mula merasai kesan fasa pertama dan kedua reformasi ini, dan implikasinya dijangka berterusan sepanjang 2025.
“Inisiatif tersebut diperkenalkan susulan beberapa kes iaitu apabila pengeluar farmaseutikal mengenakan harga lebih tinggi kepada kerajaan berbanding harga di sektor swasta. Melalui kawalan harga, KKM menyasarkan untuk memastikan harga ubat yang lebih adil, memperluas akses dan menambah baik sistem farmaseutikal negara,” kata BMI.
BMI berkata tekanan terhadap harga ubat akan terus menjadi cabaran besar kepada operasi serta keuntungan syarikat farmaseutikal.
“Pengeluar ubat berkemungkinan berdepan cabaran seperti margin keuntungan yang semakin mengecil, peningkatan pemantauan serta potensi gangguan dalam rantaian bekalan,” katanya.
Menurut BMI, kejayaan pelaksanaan inisiatif itu bergantung kepada tahap penguatkuasaan yang konsisten dan kerjasama industri.
Meskipun rangka kerja dasar telah diwujudkan, pemantauan berterusan serta penyesuaian sewajarnya penting bagi memastikan matlamat KKM untuk mencapai harga ubat yang adil dan meningkatkan akses farmaseutikal dapat direalisasikan, katanya.
-- BERNAMA
