AM

PERJANJIAN TIMBAL BALAS MALAYSIA-AS TIDAK BERCANGGAH PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN - PM ANWAR

04/11/2025 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), tidak mengandungi sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat atau peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai kedudukan penting dalam sebarang perjanjian negara termasuk ART, bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang Malaysia.

“Keputusan perbincangan kita dalam Jemaah Menteri juga kemudiannya kita ubah suai setelah mendapat input daripada Jabatan Peguam Negara, itu cara kita kerja, malah dalam yang akhir sekali pun (keputusan) ulasan Peguam Negara itu diperlukan.

“Ya kepala (ketua) rundingan itu MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri). Tetapi bila bincang soal halal, JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) masuk, bincang soal import, Kementerian Pertanian masuk, namun keseluruhannya skop undang-undangnya (ada) Jabatan Peguam Negara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada perjanjian timbal balas itu mendapat ulasan daripada AGC, pada Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri hari ini.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

Perdana Menteri dalam pada itu memberi jaminan bahawa perjanjian yang ditandatangani itu, bukan sahaja mempertahankan kepentingan Bumiputera, malah sebarang tindakan penguatkuasaan, tidak sesekali boleh membelakangkan undang-undang domestik di Malaysia.

“Saya nak sebut di sini satu peruntukan saja yang sangat penting, Seksyen 5, Economic and National Security. Ada yang kata, Oh tak sebut kedaulatan, ini keselamatan negara ditekankan. Tidak umum begitu saja. Peguam Negara bagi penjelasan, peruntukan ini komprehensif. Dia mengikat semua peruntukan lain.

“Ada berkaitan keselamatan negara, jadi kita ada juga pertimbangan keselamatan negara kita. Kalau kita rasa menjejaskan keselamatan negara kita, maka kita tidak boleh menerima perkara ini, ia juga berpandukan kepada prinsip saling percaya dan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan bilateral. Jadi kita terima, perlu perhubungan bilateral,” katanya.

Menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai tindakan pembangkang memainkan isu perjanjian ART itu di luar konteks, Anwar menyarankan agar semua pihak berbicara berdasarkan fakta.

“Saya tak meminta penghargaan tapi memaki hamun atas nama agama, saya menyampah betul, kerana dia (pembangkang) tak peduli fakta, kita gunakan peluang (kehadiran Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47) untuk secara terbuka sebut mengenai Gaza.

“Bukan sekali, tiga kali secara terbuka, saya tak sebut 20 point, 21 atau 20 point consensus, ataupun penyelesaian Presiden Donald Trump, kita sebut penyelesaian komprenhensif kerana soal Gaza ini mesti ada penyelesaian komprehensif, saya lakukan sedaya upaya saya untuk mempertahankan kepentingan Gaza dan Palestin,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan