KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Cadangan penggunaan sistem pengesahan identiti pengguna (eKYC) melibatkan aplikasi media sosial diteliti berdasarkan tiga akta berkaitan termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ia juga melibatkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
“Kita punya punca kuasa, undang-undang dan kita hormat jalan hukum. Maka, saya telah minta supaya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti perkara ini.
“Di samping kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah 5G, Internet yang laju dan murah, (kita juga mahu) menyelamatkan nyawa, menyelamatkan harta, memastikan Internet itu lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi menjawab celahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai akta yang akan digunakan bagi mengesahkan had umur pengguna.
Media sebelum ini melaporkan Fahmi mencadangkan platform media sosial dan aplikasi dalam talian diwajibkan menggunakan sistem eKYC bagi pengesahan umur dan identiti, antara lain bertujuan melindungi kanak-kanak bawah usia 13 tahun selain membendung kes penipuan dalam talian.
Sementara itu Fahmi berkata dari Januari 2022 hingga 15 Okt lepas, MCMC telah mengemukakan sebanyak 1,521 permohonan kepada penyedia platform untuk menurunkan kandungan jelik atau jelik melampau melibatkan kanak-kanak dengan 96 peratus daripadanya diturunkan berdasarkan garis panduan komuniti mereka dan aplikasi undang-undang tempatan yang relevan.
“Dalam tempoh sama, MCMC telah mengemukakan 2,881 permohonan kepada penyedia platform untuk menurunkan kandungan bersifat lucah dan daripada jumlah itu, 88 peratus bersamaan dengan 2,535 kandungan telah diturunkan.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 4,070 laman sesawang bersifat lucah telah disekat oleh penyedia platform berikutan permohonan MCMC,” katanya.
Sementara itu, menjawab celahan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai cadangan memberikan insentif kepada filem tempatan yang berjaya di peringkat antarabangsa, Fahmi berkata beliau akan meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meneliti perkara berkenaan.
Selain itu, Fahmi berkata beliau akan memanfaatkan keupayaan diplomasi Malaysia usai menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk meningkatkan promosi filem tempatan di rantau ini.
“Dengan selesainya ASEAN dan keupayaan yang telah terbina hasil daripada ruang diplomasi itu, saya percaya ada beberapa perkara boleh disusuli, saya akan cuba bina dan tingkatkan kerjasama dengan rakan-rakan sejawat di peringkat ASEAN setidak-tidaknya,” katanya.
-- BERNAMA
