KUALA TERENGGANU, 4 Nov (Bernama) -- Seorang pegawai tadbir lelaki kerugian sebanyak RM220,000 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon pada September lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 3 Sept, mangsa yang berusia 31 tahun telah menerima panggilan telefon daripada suspek lelaki, yang menyamar sebagai pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Maybank Kuala Lumpur.
Beliau berkata suspek mendakwa mangsa yang berasal dari Kuala Terengganu itu ada membuka akaun Maybank di Johor, serta didapati terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Seterusnya panggilan mangsa disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai Sarjan Khairudin daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Mangsa diminta mendedahkan maklumat peribadi termasuk kesemua akaun bank, akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) selain diarahkan melapor diri setiap kali masuk waktu solat pada setiap hari, kerana kononnya terikat dengan Akta 88 iaitu Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa kemudiannya diperkenal dengan suspek lain bernama Rashid, kononnya untuk membantu menyelesaikan kes tersebut.
Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan wang simpanan daripada ASB dan Tabung Haji berjumlah RM30,000, dengan alasan untuk dipindahkan ke akaun juruaudit negara.
“Mangsa yang terperdaya telah membuat dua kali pindahan wang ke akaun yang diarahkan bagi membersihkan namanya pada 14 Sept lepas. Tidak cukup dengan itu mangsa juga diarahkan supaya membuat pinjaman peribadi.
“Mangsa kemudiannya memindahkan wang pinjaman berjumlah RM190,000 itu ke akaun diarahkan suspek dalam tempoh 8 hingga 14 Okt,” katanya.
Azli berkata mangsa menyedari ditipu setelah usaha menghubungi suspek untuk mendapatkan maklum balas dan perkembangan kes gagal.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
