DUNIA

BURSA MALAYSIA KEMBALI MENINGKAT SELEPAS DIBUKA RENDAH

04/11/2025 10:18 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia kembali meningkat selepas dibuka rendah pada Selasa, menjejaki prestasi tidak menentu yang dialami pasaran serantau serta Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 9.10 pagi, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.78 mata atau 0.11 peratus kepada 1,624.20 daripada 1,622.42 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.20 mata lebih rendah kepada paras 1,621.22.

Bagaimanapun, keadaan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 228 berbanding 156, manakala 310 kaunter tidak berubah, 1,953 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan mencecah 228.39 juta saham bernilai RM101.04 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup dengan prestasi bercampur-campur dalam tempoh semalaman apabila saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) terus meningkat.

Beliau berkata Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat semula susulan rundingan perdagangan baru-baru ini yang dilihat meredakan ketegangan antara dua kuasa besar di samping menambah baik sentimen pelabur secara keseluruhan.

“Selain itu, kami menjangkakan institusi tempatan menjadi pembeli utama serta berharap dana asing kekal lebih lama. Oleh itu, FBM KLCI mungkin bergerak dalam julat 1,620 hingga 1,630 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group masing-masing meningkat empat sen kepada RM9.99 dan RM7.46 manakala Public Bank menambah dua sen kepada RM4.26, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM13.34 dan RM8.35.

Bagi kaunter paling aktif, Borneo Oil dan MMAG masing-masing kekal pada setengah sen dan 18.5 sen manakala NexG susut setengah sen kepada 34.5 sen, Perak Transit menokok satu sen kepada 32 sen dan Dagang Nexchange naik setengah sen kepada 33.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Fraser & Neave melonjak 40 sen kepada RM28.32, Ajinomoto meningkat 36 sen kepada RM13.88, Petronas Dagangan menokok 16 sen kepada RM22.68, KLCC Properties & REITS menambah sembilan sen kepada RM8.79, dan United Plantations naik lapan sen kepada RM24.98.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut 90 sen kepada RM112.30, Batu Kawan merosot 30 sen kepada RM19, Malaysian Pacific Industries turun 20 sen kepada RM30.80, Hong Leong Industries berkurangan 16 sen kepada RM13.90, dan Lim Seong Hai Capital menguncup sembilan sen kepada RM2.21.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 6.73 mata kepada 11,835.29, manakala Indeks FBM Emas naik 5.44 mata kepada 12,088.44.

Indeks FBM Emas Syariah turun 10.23 mata kepada 12,124.87, Indeks FBM ACE kurang 29.44 mata kepada 5,142.33, dan Indeks FBM Mid 70 susut 17.49 mata kepada 17,008.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 69.60 mata kepada 18,379.26, Indeks Perladangan turun 20.17 mata kepada 8,032.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.03 mata kepada 172.36, manakala Indeks Tenaga susut 1.13 mata kepada 772.26.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan