
Berlatarkan Trans-Ili Alatau, sistem pergunungan bersempadan antara Kazakhstan dan Kyrgyzstan, kota raya Almaty dikenali dunia menerusi keindahan puncak gunung yang diselimuti salji pada musim dingin serta tasik yang airnya membiru kehijauan.
Namun, bekas ibu negara Kazakshtan ini menawarkan lebih daripada keindahan alam semula jadi, kerana di ceruk kota ada keajaiban yang boleh diteroka, terutamanya jika anda kesuntukan waktu namun tidak mahu melepaskan peluang mencipta kenangan di bumi Kazakh ini.
Kali ketiga menjejakkan kaki di Almaty - peluang yang hadir ketika transit dari Astana (ibu negara Kazakhstan) pada awal Oktober lepas - penulis ada masa kira-kira lapan setengah jam sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur di sebelah malam.
Ditolak perjalanan pergi-balik Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty dan pusat bandar, masih ada masa kira-kira lima jam untuk penulis menjelajah tempat-tempat yang selalunya tidak “dipandang” oleh pelancong dalam keterujaan mereka menuju destinasi indah di pergunungan.
KEMBALI SELEPAS 11 TAHUN
Kali pertama penulis tiba di wilayah ini ialah pada musim sejuk 2013 ketika pusat peranginan terkenal Shymbulak Ski Resort diliputi salji di mana penulis cuba bermain ski buat kali pertama.
Penulis kembali ke pusat peranginan itu pada September tahun berikutnya ketika cerun yang dulu bersalji sedang berselimut hijau dan penulis berpeluang bergambar dengan helang emas (Aquila chrysaetos), simbol negara Khazakhstan yang melambangkan kebebasan dan kekuatan negara itu. Sukar hendak digambarkan perasaan apabila haiwan pemangsa itu bertenggek megah di lengan penulis.
pic-2
Selepas 11 tahun, peluang tiba lagi untuk penulis menghayati keindahan wilayah ini. Kali ini tidak ada cerun untuk disusuri. Tidak ada helang emas bertenggek di lengan. Sekadar bersiar-siar mencari “rahsia” yang membuatkan kota Almaty begitu menawan.
Memulakan kembara dengan berjalan kaki menyusuri Panfilov Street yang dibarisi pepohon meredupkan suasana. Dahulunya sibuk dengan trafik, jalan itu berubah wajah menjadi laluan pejalan kaki yang menenangkan melalui pengubahsuaian pada 2017.
Menjadi tumpuan orang ramai yang datang untuk bersiar-siar atau bersantai, Panfilov Street kini dipenuhi kafe yang semerbak dengan aroma kopi dan pastri, sementara pemuzik jalanan menghiasi ruang udara dengan alunan melodi membuai jiwa.
Mahu menikmati sepenuhnya suasana di jalan itu, penulis singgah di sebuah kafe. Hidangan yang dicari ialah sajian kegemaran masyarakat tempatan sejak turun-temurun: pastri keemasan berbentuk corong berinti krim ditaburi gula halus yang penulis padankan dengan teh buah beraroma.
JEJAK WARISAN
Usai mengalas perut, penulis meneruskan langkah dan mata tertumpu pada Almaty Hotel. Muka bangunan itu mengetengahkan dua mozek memukau - penzahiran jelas seni tinggalan era Soviet Union di kota ini.
Di dinding kiri terpampang mozek Enlik-Kebek yang dihasilkan pada 1965, memaparkan kisah cinta tragis sepasang kekasih Kazakh yang ditakdirkan berpisah, mengimbau tragedi Romeo dan Juliet.
pic-3
Di sebelah kanan pula, mozek Laluan Sutera yang siap pada 2004, menyerlah dengan warna terang dan pergerakan seakan hidup, menelusuri laluan perdagangan kuno yang pernah merentasi Asia Tengah.
Penulis berhenti sejenak, memerhati sinaran mentari yang menari-nari di permukaan kaca dan mengagumi bagaimana kenangan, sejarah dan seni terpelihara di tengah-tengah hiruk-pikuk kota.
Beberapa langkah ke depan, Teater Opera dan Balet Abay berdiri megah. Muka bangunan yang berwarna pucat lembut memberi bayangan akan keteguhan kecintaan Almaty terhadap seni persembahan.
Mengambil nama penyair dan ahli falsafah Abay Kunanbayev, teater ini merupakan khazanah kebangsaan, tempat di mana penceritaan, muzik dan tradisi berpadu menjadi satu.
Berpeluang menyaksikan persembahan di Opera Astana sebelum itu, penulis dapat menyelami sendiri betapa mendalamnya penghargaan rakyat Kazakhstan terhadap seni. Walaupun di jalanan, semangat Teater Abay dapat dirasai.
Beberapa langkah seterusnya membawa penulis ke 28 Panfilov Guards Park - sebuah taman khas bagi memperingati wira-wira Kazakhstan yang berjuang semasa Perang Dunia Kedua.
Dinamakan bersempena dengan 28 orang tentera daripada Divisyen Panfilov yang gugur mempertahankan Moscow, taman itu bukan sahaja tugu peringatan, tetapi juga nadi kehidupan masyarakat kota.
Di tengah-tengah taman terletak Ascension Cathedral. Dari jauh, menara gereja dan garis binaannya yang lurus memberi gambaran seolah-olah dibina daripada batu atau konkrit, namun realitinya keseluruhan struktur - termasuk dinding, menara loceng dan puncak menaranya - dibina sepenuhnya daripada kayu Schrenk’s spruce, tanpa menggunakan waima sebatang paku.
Dibina pada 1907 dengan teknik “interlocking wood”, gereja besar ini direka agar dapat bertahan daripada gegaran gempa bumi - satu pengiktirafan terhadap seni pertukangan dan juga kepercayaan agama.
PASAR YANG MERIAH DAN DETIK MANIS
Dari taman, penulis menuju Green Bazaar - antara pasar tertua dan paling meriah di Almaty. Ruang udaranya sarat dengan bau rempah-ratus, buah-buahan kering dan roti yang baru dibakar. Peniaga riuh memanggil pelanggan sambil menawarkan sampel “kurt”, iaitu keju kering tradisional.
pic-4
Sebagai kenangan, penulis membeli magnet peti sejuk bergambar harimau salji yang menurut masyarakat setempat hanya terdapat kira-kira 150 ekor sahaja lagi di habitat semula jadi - mengingatkan kita betapa “lemahnya” alam semula jadi, waima makhluk yang kuat seperti harimau itu.
Masa berlalu dengan pantas. Penulis singgah di kedai Rakhat Chocolate Factory’s - nama yang wujud sejak 1942, dan selama bergenerasi coklat keluarannya mewarnai zaman kanak-kanak dan menonjolkan kehalusan seni pembuatan manisan Kazakhstan.
Penulis mencapai beberapa batang coklat berpembalut warna biru - warna bendera kebangsaan - dengan perkataan “Kazakhstan” tertera megah di bahagian atas. Cenderamata kecil daripada kunjungan yang singkat namun penuh makna.
SENTUHAN KONTEMPORARI
Persinggahan terakhir penulis ialah di Almaty Museum of Arts (AMOA) yang dibuka pada 12 Sept 2025, satu tambahan mengagumkan kepada landskap budaya kota itu, terletak hanya 15 minit memandu dari taman.
Diasaskan oleh ahli perniagaan dan pengumpul seni Nurlan Smagulov, muzium seluas 10,000 meter persegi itu menandakan babak baharu yang berani dalam perkembangan dunia seni Almaty.
pic-5
Direka oleh firma seni bina Britain Chapman Taylor, muzium ini menampilkan dua sayap berbentuk huruf L: satu bersalut batu kapur pucat yang menyamai pergunungan Tian Shan, manakala satu lagi dilapisi aluminium berkilat yang mencerminkan kemodenan kota. Kedua-duanya dihubungkan oleh sebuah atrium dikenali sebagai Art Street.
Di luar bangunan, tiga arca monumental menyambut para pengunjung - potret seorang gadis dengan tocang Kazakh karya Jaume Plensa; Wind Sculpture ciptaan Yinka Shonibare yang menjadi lambang perubahan penuh warna; dan instalasi kontemplatif Alicja Kwade yang mengilhamkan renungan tentang masa dan kewujudan.
Di dalam muzium, lebih 700 karya dari Kazakhstan, Asia Tengah dan pelbagai negara lain memenuhi ruang galeri. Seni rakyat berakar daripada tradisi nomad dipamerkan seiring dengan karya kontemporari yang meneroka tema identiti dan transformasi, antaranya instalasi penuh keindahan di luar realiti oleh Almagul Menlibayeva serta Love is Calling karya Yayoi Kusama.
Dalam tempoh kurang tiga minggu sejak dibuka, lebih 60,000 pengunjung telah melangkah ke ruang muzium ini - bukti nyata akan cinta Almaty yang kian mendalam terhadap seni dalam segala bentuk.
Lima jam berlalu sekelip mata dan penulis kembali ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan pulang ke tanah air.
Kunjungan itu singkat namun tetap mengingatkan penulis bahawa “jiwa” sesebuah kota tidak semestinya terletak pada mercu tanda, sebaliknya wujud dalam seni, makanan, malah gelak tawa masyarakatnya dalam mengharungi rutin kehidupan seharian.
