JOHOR BAHRU, 4 Nov (Bernama) -- Gangguan bekalan air susulan pencemaran Sungai Johor yang memasuki hari kelima hari ini turut menjejaskan hal ehwal pengurusan jenazah di beberapa masjid di sekitar daerah ini.
Sukarelawan pengurusan jenazah daerah Skudai selama lapan tahun, Ridzal Mohd Hamdan berkata sejak beberapa hari lepas, sekurang-kurangnya tiga jenazah tidak dapat dimandikan di masjid kariah masing-masing berikutan ketiadaan bekalan air.
Beliau berkata situasi itu turut dapat disaksikan hari ini apabila jenazah seorang warga emas lelaki berusia 72 tahun terpaksa dihantar ke Masjid Al-Hidayah yang berhampiran untuk dimandikan dan disembahyangkan selepas Masjid Taman Impian Emas di Skudai tidak mempunyai bekalan air.
“Saya ada bertanya dalam kumpulan WhatsApp masjid-masjid berhampiran, masjid mana yang masih ada air dan boleh bantu untuk kami tumpangkan jenazah.
“Alhamdulillah, kebanyakan pengerusi masjid tiada masalah untuk membantu,” katanya kepada Bernama selepas menyempurnakan fardu kifayah berkenaan di Masjid Al-Hidayah, di sini hari ini.
Beliau berkata sebelum itu, permasalahan berkenaan diajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim, yang kemudiannya menghubungi operator air Ranhill SAJ untuk menghantar lori tangki ke Masjid Taman Impian Emas.
“Bagaimanapun, disebabkan kita ingin menyegerakan pengurusan jenazah dan berpendapat air tersebut mungkin lebih utama digunakan untuk jemaah yang ingin mengambil wuduk dan sebagainya, maka saya terus ke masjid lain yang berdekatan,” katanya.
Setiausaha Masjid Taman Impian Emas Mohd Asnawi Darmin pula berkata air tangki masjid berkurang dengan cepat kerana digunakan penduduk setempat yang mandi di situ sejak ketiadaan air pada Jumaat lepas.
Katanya, beliau faham penduduk terpaksa berbuat demikian disebabkan tiada pilihan lain, malah kerja pembersihan masjid juga hanya dapat dilakukan pada kadar minimum disebabkan ketiadaan bekalan air.
“Keadaan ini menyukarkan penduduk bukan sahaja yang mahu menguruskan jenazah, tetapi juga yang hendak ke sekolah, bekerja dan menunaikan solat,” katanya.
Sebanyak 455,757 pemegang akaun, atau hampir 1.8 juta penduduk di Johor, dilaporkan terjejas secara berperingkat akibat pencemaran Sungai Johor yang berlaku sejak Jumaat yang turut menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di sini terpaksa ditutup.
Pencemaran itu berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi, menyebabkan operasi loji rawatan air terpaksa dihentikan sementara.
Setakat semalam, Ranhill SAJ memaklumkan peratus keseluruhan pemulihan bekalan air di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai mencecah 93 peratus.
Sementara itu, Marina dalam hantaran Facebook berkata walaupun statistik menunjukkan jumlah akaun yang pulih semakin meningkat, masih terdapat beberapa lokasi di bawah kawasannya yang langsung tidak menerima bekalan air.
“Kawasan terjejas akibat pencemaran sangat luas, saya faham kesusahan penduduk Skudai, saya berusaha untuk sentiasa menghubungi pegawai dan Exco terlibat bagi membantu permasalahan ini,” katanya.
-- BERNAMA
