KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pasaran pusat data Malaysia kini sedang menuju untuk menjadi satu daripada yang terbesar di rantau Asia-Pasifik dengan kapasiti keseluruhan dijangka meningkat lebih daripada empat kali ganda menjelang 2026.
Pengurus Pasaran Modal JLL Malaysia (Transaksi Pusat Data) Sum Chun Kit berkata kapasiti pusat data di Malaysia pada masa ini sekitar 835 megawatt (MW) yang dijangka melebihi 4,000 MW selepas 2026.
"Ini akan menjadikan Malaysia sebagai satu daripada pasaran pusat data terbesar di Asia-Pasifik," katanya dalam taklimat laporan pasaran suku ketiga JLL Malaysia di sini hari ini.
Sum berkata pusat data utama di Malaysia berada di Greater Kuala Lumpur dengan Cyberjaya mengekalkan kepadatan pusat data tertinggi di negara ini selain menunjukkan pertumbuhan ketara dalam penggunaan hiperskala, mencerminkan evolusi sebagai destinasi pusat data utama Malaysia.
Katanya, selain Kuala Lumpur, Johor juga merupakan satu daripada pusat data utama di negara ini dengan Nusajaya menjadi lokasi pusat data premium manakala Sedenak Tech Park menempatkan satu daripada taman pusat data binaan khas terbesar di Asia Tenggara yang menampilkan infrastruktur khas tenaga dan air.
Beliau juga mengenal pasti Negeri Sembilan sebagai pusat tumpuan baharu untuk pembangunan hiperskala terutamanya di Nilai dan Port Dickson berikutan lokasinya yang berhampiran Selangor dan harga tanah yang jauh lebih murah.
Sum berkata permintaan pusat data Malaysia masih dipacu terutamanya oleh beban kerja tradisional seperti pengkomputeran awan dan penyimpanan data, tetapi beban kerja berkaitan kecerdasan buatan (AI) dijangka meningkat.
"Data penyelidikan kami menunjukkan kebanyakan pusat data kini masih dipacu terutamanya oleh beban kerja tradisional, belum banyak dibebani kerja AI.
"Tetapi, akan ada lebih banyak beban kerja AI pada masa depan dan aliran beban kerja bukan AI semasa akan meningkat, jadi pusat data kami akan kekal dan masih banyak ruang untuk berkembang," katanya.
Mengenai prospek tenaga, Sum berkata pusat data di Malaysia kini menggunakan sekitar tiga peratus daripada jumlah kapasiti tenaga terpasang di Semenanjung iaitu sebanyak 27,000 MW, tetapi angka ini dijangka meningkat kepada 15 hingga 20 peratus menjelang 2035.
Sum menekankan pusat data menggunakan sejumlah besar air untuk penyejukan dan hanya 18 peratus daripada permohonan air untuk pusat data yang diluluskan tahun lepas disebabkan oleh kekangan sumber.
Beliau berkata beberapa pusat data di Johor sedang membangunkan loji rawatan air sisa mereka sendiri dan menggunakan air sungai serta air sisa daripada aktiviti mencuci di rumah, satu aliran yang dijangkakan diteruskan di seluruh Malaysia.
-- BERNAMA
