EKONOMI

PUSAT DATA YTL POWER CAPAI KAPASITI PENUH DALAM TEMPOH DUA TAHUN

01/11/2025 09:30 PM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 1 Nov (Bernama) -- Pusat data hijau YTL Power International Bhd di Kulai, Johor yang telah memulakan operasinya, berkembang pada tahap yang pesat, dan dijangka mencapai kapasiti penuh dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata pusat data itu telah mula beroperasi yang menyaksikan pelanggan mula menggunakan perkhidmatannya manakala pengembangan selanjutnya dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.

Beliau berkata tahap pengembangan itu turut bergantung kepada bagaimana Malaysia membuat penyesuaian dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

"Kami telah mempunyai sebuah kampus yang besar. Ia adalah pusat data hijau memandangkan kami menggunakan tenaga solar yang membekalkan elektrik. Selain itu, kami mempunyai 600 megawatt (MW) daripada utiliti nasional yang menyokong keperluan tenaga kluster ini.

"Kami sedang membina dan memasang 300 MW di lokasi. Oleh itu, ia berkembang pada kadar yang sangat pesat, dan kami menjangkakan dalam tempoh dua tahun akan datang, ia akan mencapai kapasiti penuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, YTL Power mengumumkan kejayaan menyiapkan pusat data AI syarikat itu, yang dikuasakan oleh GPU NVL72 Grace Blackwell (GB 200)  terkini dengan sistem penyejukan cecair Nvidia Corporation.

Terletak di tapak berkeluasan 664 hektar dalam kampus pusat datanya di Johor, kemudahan itu diwujudkan untuk menyokong beban kerja AI dan pembelajaran mesin berskala besar dan berprestasi tinggi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan